Kuala Lumpur, Feb-
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berharap perkembangan ekonomi negara yang menunjukkan prestasi baik tahun lalu dapat dinikmati semua rakyat, bukan hanya menguntungkan kumpulan tertentu.
Bertitah sempena pembukaan mesyuarat pertama penggal keempat Parlimen ke-15, Sultan Ibrahim sukacita dengan prestasi ekonomi domestik dan pelaburan negara yang semakin baik, menyaksikan nilai ringgit kembali kukuh serta kadar pengangguran kekal rendah.
Titahnya, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun lalu telah mencapai 5.9% dalam pelbagai sektor manakala jumlah perdagangan pula melepasi angka RM2 trilion untuk tempoh sembilan bulan pertama.
“Saya mengucapkan syabas kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan kerajaan di atas prestasi ekonomi negara yang membanggakan ini, saya harap terus dipertingkatkan.“Namun begitu kerajaan hendaklah menentukan agar prestasi baik ini membawa nikmat kemakmuran kepada seluruh rakyat dan bukan hanya memberi keuntungan kepada kumpulan tertentu sahaja,” titah Sultan Ibrahim.
Sehubungan itu, baginda menyambut baik pelaksanaan pendekatan subsidi bersasar yang telah berupaya mengukuhkan kedudukan kewangan negara.
“Namun saya menggesa agar subsidi bersasar itu diagihkan dengan cekap dan berkesan kepada kumpulan benar-benar layak sahaja,” titahnya.




















