Tumpat, Feb-
Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas 88,000 biji kelapa bernilai RM2.1 juta yang dipercayai mahu diseludup ke Thailand, semalam.
Rampasan berkenaan dilakukan Batalion 7 PGA kira-kira jam 12.30 tengah hari di stor Che Soh, Kampung Pulau Ular, di sini.
Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid, berkata rampasan dilakukan menerusi Op Taring Wawasan selepas pihaknya menjalankan pemeriksaan terhadap stor berkenaan.
“Hasil pemeriksaan mendapati ada 88,000 biji kelapa ditemui dalam lori dan kawasan stor terbabit tanpa dokumen dan lesen pembelian kelapa yang sah.
“Bekalan kelapa ini dipercayai ditransit di lokasi berkenaan sebelum diseludup ke Thailand dan nilai rampasan keseluruhan sebanyak RM2.1 juta.
“Kita turut menahan lima individu berusia 26 hingga 43 tahun dipercayai berperanan sebagai penghantar bekalan terbabit ke negara jiran,” katanya ketika dihubungi.





















