Georgetown, Feb-
Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) mengarahkan sebuah medan selera di Pulau Tikus, di sini, ditutup selama 14 hari bermula semalam selepas hasil pemeriksaan menemui bangkai tikus dan urungan najis tikus serta lipas.
MBPP dalam satu kenyataan, hari ini, berkata pihaknya menjalankan operasi kebersihan di kedai kopi berkonsepkan medan selera itu, semalam, dan mendapati kebersihan premis terbabit tidak mencapai tahap memuaskan.
Arahan penutupan itu adalah berdasarkan faktor markah penilaian kebersihan gred premis yang tidak mencapai tahap memuaskan dan penemuan bangkai tikus serta urungan najis tikus dan lipas.
“Ketika pemeriksaan, pegawai MBPP turut mendapati sebuah gerai yang menyewa di medan selera itu berada dalam keadaan uzur dengan bau meloyakan,” katanya.
Kenyataan itu memaklumkan, pegawai Jabatan Pelesenan MBPP turut memberikan teguran serta khidmat nasihat kepada pengusaha medan selera terbabit.
“Antara tindakan disyorkan ialah kawalan serangga secara berkala, penyediaan perangkap minyak yang sempurna, penggantian bumbung gerai yang uzur serta pematuhan larangan penggunaan penyedut minuman plastik.



















