Kuala Lumpur, Jun–
Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang diperluas dan akan berkuatkuasa pada 1 Julai 2025 akan merangkumi 6 kategori baharu perkhidmatan iaitu pajakan, pembinaan, kewangan, penjagaan kesihatan swasta, pendidikan dan kecantikan.
Menteri kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata perubahan tersebut turut melibatkan kadar cukai jualan yang lebih tinggi ke atas barangan terpilih seperti ketam raja, ikan salmon, ikan kod, cendawan truffle dan strawberi import adalah makanan yang akan dinaikkan kadar cukai jualan sebanyak lima peratus mulai 1 Julai ini.
Selain itu, barangan yang dikenakan cukai kadar tersebut adalah essential oil atau minyak pati, sutera dan jentera industri.Kementerian Kewangan menerusi kenyataan turut menyenaraikan sisa skrap tungsten, basikal lumba dan lukisan tangan antik dikenakan cukai jualan pada kadar 10 peratus.
Jelas Amir Hamzah, ia susulan semakan dan perluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang diumumkan dalam Belanjawan 2025 yang bertujuan menambah hasil dan meluaskan asas percukaian.
“Semakan semula SST telah melalui proses libat urus bersama pihak berkepentingan, khususnya persatuan industri dan ejen percukaian.
“Penyediaan perundangan turut mengambil kira maklum balas serta input industri bagi memastikan majoriti rakyat tidak terjejas dan kesan terhadap pihak industri dapat diminimumkan,” katanya.
Menurut beliau, hasil daripada perluasan skop SST ini akan membolehkan penambahbaikan dalam perkhidmatan awam diaksanakan khususnya peningkatan jumlah bantuan tunai kepada rakyat serta memperkukuh prasarana asas dan penyampaian perkhidmatan awam.
“Kerajaan komited untuk meneruskan pembaharuan di bawah kerangka ekonomi Madani. Bagi memastikan rakyat terbanyak tidak terkesan daripada semakan semula SST, Kerajaan Madani mengambil pendekatan yang bersasar untuk memastikan barangan dan perkhidmatan asas tidak dikenakan cukai.
“Selain itu, pelbagai kemudahan turut disediakan bagi mengurangkan kesan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS),”tambahnya.
Tambahan hasil ini dapat dimanfaatkan seluruh negara tanpa menambah beban kepada rakyat katanya.




















