Calon SPM tikam mati ibu dan abang kandung

Melaka, Jun-
Tekanan belajar dan sering dimarahi dipercayai punca seorang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) lelaki menikam ibu dan abangnya sehingga maut dalam kejadian tragis di sebuah rumah di Taman Rambai Mutiara, di sini pada awal pagi hari ini.

Dalam kejadian lebih kurang jam 5 pagi, suspek remaja berusia 17 tahun dipercayai masuk ke bilik ibunya yang juga merupakan guru berstatus ibu tunggal lalu menyerang mangsa sebelum menikam wanita berusia 51 tahun itu menggunakan pisau lipat.

Ketua Polis, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, anak sulung mangsa yang berusia 21 tahun, menyedari kekecohan berlaku dan cuba meleraikan namun turut ditikam suspek sehingga maut sebelum mayat kedua-dua beranak itu ditemui di ruang tamu rumah teres setingkat itu.

Menurutnya, seorang lagi anak bongsu lelaki mangsa berusia 13 tahun turut mengalami kecederaan parah ditikam suspek, namun dilaporkan stabil dan kini sedang menerima rawatan di Hospital Melaka.

“Motif kejadian disebabkan oleh perasaan dendam, perasaan terpendam dan tekanan perasaan, tiada motif lain, yang mana ibu dan abang sering memarahi suspek jadi kes dianggap selesai.

“Setakat ini terdapat beberapa kesan tikaman ditemui pada mangsa seperti di leher, pinggang dan juga di belakang. Mayat kedua beranak ini telah dihantar ke Hospital Melaka untuk proses bedah siasat,” katanya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di sini, pada Khamis.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here