Pemandu, kelindan maut nahas 3 treler

Batu Pahat, Jun-
Seorang pemandu dan kelindannya maut dalam nahas membabitkan tiga treler di Kilometer 81.9 Lebuh Raya Utara-Selatan (arah selatan), pagi tadi.

Kemalangan kira-kira jam 8.30 pagi itu meragut nyawa pemandu treler membawa muatan barangan elektronik, R. Pubalan, 45, dan kelindannya, R. Sivasanthiran, 35.

Difahamkan, insiden itu turut menyebabkan trafik laluan ke arah selatan mengalami kesesakan lebih 10 kilometer (km).

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani, berkata hasil siasatan awal mendapati treler dipandu mangsa merempuh belakang sebuah treler membawa muatan kayu.

Beliau berkata, sejurus perlanggaran berkenaan, treler membawa muatan kayu yang dipandu lelaki berusia 37 tahun itu pula merempuh sebuah lagi treler membawa muatan minyak yang dipandu lelaki berumur 42 tahun.

“Akibatnya, kedua-dua mangsa parah dan tersepit di tempat duduk pemandu serta penumpang sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Pemandu treler membawa muatan kayu pula cedera ringan di kaki dan dada sebelum dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) untuk rawatan lanjut.

“Pemandu treler membawa muatan minyak pula dilaporkan tiada mengalami kecederaan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here