Pengamal media harus jalani pemeriksaan, pastikan kesihatan pada tahap terbaik – Fahmi

Kuala Lumpur. Jun-
Pengamal media dinasihatkan menjalani pemeriksaan bagi memastikan kesihatan mereka berada pada tahap terbaik, terutama ketika melaksanakan tugasan di lapangan.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, berkata terdapat pengamal media yang komited melaksanakan tugas dan bertungkus lumus mendapatkan maklumat serta berita sahih untuk masyarakat, sering terlupa mengenai kesihatan diri masing-masing.

“Ramai juga (wartawan) yang saya lihat perlu diberikan sedikit peringatan untuk menjaga kesihatan, terutama aspek saringan bagi jantung contohnya dan juga perkara-perkara kesihatan yang lain.

“Kadang-kadang kita lupa mengenai diri sendiri. Jadi, inilah sedikit peringatan yang saya hendak sampaikan kepada rakan-rakan wartawan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Gabungan Kelab Media Malaysia (GKMM) 2025 sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025, di sini, malam ini.

Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin; Ketua Pengarang, Arul Rajoo Durar Raj yang juga Pengarah Projek HAWANA 2025; serta pengurusan tertinggi agensi berita itu.Sempena HAWANA 2025, Fahmi meminta semua pihak menghargai tugas media yang sentiasa komited memberi pelaporan yang tepat dan cepat kepada masyarakat.

“Saya sangat risau kerana kita jarang memikirkan pasukan (media) yang bertungkus lumus untuk mendapatkan maklumat dan berita sahih.

“Satu perkara yang saya harap melalui HAWANA tahun ini ialah lebih ramai dalam kalangan masyarakat memahami dan menghargai jasa bakti pengorbanan rakan-rakan media,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here