Kuala Lumpur, Julai-
Kumpulan militan didalangi warga Bangladesh yang aktif menyebarkan ideologi ekstremisme melalui platform digital berjaya ditumpaskan menerusi siri operasi keselamatan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak April lalu.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, seramai 36 individu berusia antara 25 hingga 35 tahun ditahan dalam tiga fasa operasi yang dijalankan oleh Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas PDRM sekitar Selangor dan Johor.
Khalid Ismail, berkata kumpulan itu mengumpul dana dengan memungut RM500 setahun daripada setiap ahlinya yang kini dipercayai seramai 150 orang.
Katanya, warga Bangladesh terbabit bekerja dalam sektor buruh seperti kilang, pembinaan dan stesen minyak di negara ini.
Menurut beliau, operasi tersebut merupakan tindakan strategik PDRM untuk mengekang sebarang bentuk ancaman militan asing, sekali gus mengekalkan kestabilan dan keselamatan negara.
“Malaysia tidak dijadikan sasaran, namun dijadikan lokasi penyebaran fahaman radikal dan ekstrem dalam kalangan komuniti migran.
“Kita tidak akan berkompromi dalam hal keselamatan negara,” katanya dalam sidang akhbar di Bukit Aman di sini pada Jumaat.
Sebelum ini Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan PDRM menumpaskan satu rangkaian militan warga asing dengan penahanan 36 warga Bangladesh yang disyaki terbabit secara langsung dalam gerakan militan radikal berpaksikan fahaman ekstremis dan ideologi keganasan.
Penahanan dibuat menerusi tiga fasa operasi keselamatan terancang di sekitar Selangor dan Johor bermula 24 April lalu, membabitkan lima individu yang sudah didakwa di mahkamah, 15 diusir pulang, manakala 16 lagi masih disiasat berhubung pembabitan mereka dalam gerakan berkenaan.
Dalam pada itu, Mohd Khalid mengesahkan kumpulan militan yang bergiat sejak setahun lalu itu merekrut ahli dalam kalangan warga Bangladesh yang bekerja di Malaysia termasuk di sektor buruh seperti kilang, pembinaan dan stesen minyak, dengan bayaran keahlian tahunan RM500 dikenakan bagi membiayai aktiviti berkaitan gerakan ekstremis.
Sementara sumbangan tambahan daripada ahli bergantung kepada kemampuan masing-masing.
Tambah beliau, kumpulan ini didalangi Gerakan Militan Radikal Bangladesh (GMRB) yang menyebarkan fahaman ekstremis dan propaganda IS menerusi media sosial serta aplikasi pesanan seperti WhatsApp dan Telegram.
“Antara modus operandi kumpulan ini termasuk proses ‘baiah’ secara dalam talian, pengwujudan sel baharu, serta kutipan dana yang disalurkan ke Syria dan Bangladesh menggunakan platform digital seperti Touch ‘n Go dan bKash,” katanya.
“Siasatan setakat ini menunjukkan sejumlah wang sudah dihantar ke luar negara bagi menyokong gerakan keganasan, namun jumlah keseluruhan masih dalam siasatan,” katanya.




















