Kuala Lumpur, Sep-
Mangsa banjir, kebakaran dan tanah runtuh di Sabah meningkat kepada 2,533 mangsa, dengan enam daerah diisytiharkan kawasan bencana oleh Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD).
Laporan Situasi Bencana, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) berkata banjir bertambah teruk, dengan keseluruhan mangsa hari ini meningkat kepada 2,452 orang daripada 652 keluarga yang ditempatkan di 18 Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
Katanya, daerah Penampang mencatat wilayah yang paling terkesan dengan 910 mangsa, manakala Membakut seramai 611 mangsa dan Putatan 456 mangsa.
NADMA menyatakan, trend bencana banjir secara umum menunjukkan peningkatan di sebahagian besar daerah, kecuali Membakut yang keadaannya tidak berubah.
Selain banjir, kebakaran berskala besar di Tawau menyebabkan 59 mangsa daripada 11 keluarga terpaksa dipindahkan tetapi keadaan tetap stabil.
Di Papar, tanah runtuh berlaku terhadap lima keluarga membabitkan 21 mangsa.”Secara keseluruhan, jumlah mangsa bencana di Sabah mencapai 2,533 orang daripada 668 keluarga, dengan 20 Pusat Pemindahan Sementara diaktifkan,” katanya.
NADMA berkata, enam daerah yang diisytiharkan sebagai kawasan bencana oleh JPBD adalah Beaufort (banjir), Penampang (banjir, tanah runtuh), Tawau (kebakaran), Papar (banjir, tanah runtuh), Membakut (banjir) dan Putatan (banjir).





















