Padah menanti jika berikan anak peranti elektronik lebih dua jam sehari

KUALA LUMPUR –
Penggunaan peranti elektronik berlebihan dalam kalangan kanak-kanak boleh membantutkan perkembangan mental dan emosi selain berkemungkinan meningkatkan kadar rabun jauh pada usia muda.Dalam aspek kesan penggunaan peranti elektronik kepada mata, ia boleh menyebabkan kanak-kanak berhadapan masalah rabun jauh dalam usia yang tidak sepatutnya, manakala dalam aspek mental dan emosi, ‘ketagihan’ peranti elektronik boleh membawa kepada sikap agresif jika tidak dapat menggunakan alatan itu.

Berkongsi mengenai kesan peranti elektronik kepada mata, Pakar Perunding Oftalmologi Dr Azura Ramlee daripada Prof Muhaya Eye & Lasik Centre (PMELC) berkata peningkatan bilangan kanak-kanak mengalami rabun jauh atau ‘myopia’ akibat kerap menggunakan alatan itu adalah isu yang perlu ditangani pada peringkat awal.

“Penggunaan peranti elektronik terutamanya telefon pintar dan komputer tablet dalam kalangan kanak-kanak tidak seharusnya melebihi dua jam sehari,” katanya kepada Bernama.

Menurutnya, satu kajian pada 2005 mendapati kadar rabun kanak-kanak berusia tujuh tahun adalah 9.8 peratus manakala bagi kanak-kanak berusia 15 tahun pula adalah 34.4 peratus

“…kajian ini dilakukan pada 2005 dan penggunaan peranti elektronik dalam kalangan kanak-kanak (ketika itu) masih rendah, kini statistik itu dijangka meningkat dengan penggunaan yang tidak terkawal. Ramai pesakit yang datang untuk rawatan penglihatan kabur mempunyai tabiat melihat skrin digital dengan lama,” jelasnya.

Tambah Dr Azura, selain myopia kanak-kanak turut terdedah dengan ketidakselesaan dan kekeringan mata (digital eye strain) akibat mata kurang berkelip kerana asyik melihat alatan elektronik itu.

“Selain itu, melihat skrin digital dengan dekat dan silau daripada skrin akan turut mengakibatkan ‘digital eye strain’. Gejala digital eye strain termasuklah mata rasa penat, pedih, berair, gatal, penglihatan kabur dan pening,” katanya.

Menurutnya, American Academy of Pediatrics mengesyorkan tiada peranti elektronik bagi kanak-kanak di bawah dua tahun, satu jam sehari bagi yang berumur tiga hingga lima tahun, satu sehingga satu setengah jam sehari bagi kanak-kanak enam hingga 10 tahun dan dua jam bagi kanak-kanak 11 hingga 13 tahun.

Katanya, syor itu boleh dijadikan panduan bagi ibu bapa untuk mula mengawal waktu penggunaan anak-anak bermain peranti elektronik.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh dilaporkan berkata pengaruh peranti elektronik terhadap kehidupan harian kanak-kanak di negara ini membimbangkan dan satu tinjauan pendapat dilakukan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara di Lembah Klang mendapati 78.3 peratus ibu bapa membenarkan anak-anak memiliki alatan itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here