Suami isteri direman tujuh hari bantu kes dera kanak-kanak perempuan

Pasangan suami isteri yang ditahan kerana disyaki mendera seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun sehingga mengalami kecederaan dalam kejadian di Flat Ampang Jajar di Permatang Pauh, di sini semalam, direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata bapa kandung dan ibu tiri kanak-kanak itu direman bermula hari ini dan kes tersebut disiasat menurut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.

“Ujian air kencing terhadap lelaki berusia 36 tahun itu mendapati dia positif methamphetamine manakala isterinya yang berumur 38 tahun negatif, namun kedua-dua mereka mempunyai rekod lampau berkaitan dadah serta jenayah.

“Wanita itu yang merupakan suri rumah mempunyai satu rekod lampau berkaitan kes jenayah iaitu mencuri manakala suaminya yang bekerja sebagai mekanik mempunyai empat kes jenayah dan empat kes dadah,” katanya di sini hari ini.

“Berdasarkan siasatan setakat ini hanya kanak-kanak itu sahaja yang dipukul serta didera oleh ibu tirinya menggunakan objek tumpul seperti topi keledar, kayu dan penyangkut baju, tidak membabitkan adik kandungnya atau lapan adik-beradik tirinya yang lain (tidak didera),”katanya.

Kanak-kanak perempuan itu diselamatkan sebuah pertubuhan bukan kerajaan selepas menerima maklumat mengenai penderaan daripada penduduk flat terbabit, dan dia ditemui dengan kesan kecederaan serius di badan, tangan dan muka sehingga menyebabkannya sukar membuka kedua-dua belah mata.

Kanak-kanak itu tidak bersekolah sejak tinggal di flat berkenaan tahun lepas, dan ibu kandung kanak-kanak itu pula ketika ini sedang menjalani hukuman di penjara.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here