KUALA LUMPUR –
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan tujuh lagi kes positif COVID-19 membabitkan warga tempatan, menjadikan jumlah terkini kes sehingga petang ini menjangkau 36.
Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata semua kes baharu itu merupakan kontak rapat kepada kes positif ke-26 pada 29 Feb lepas.
Beliau berkata kes ke-30 membabitkan seorang lelaki berusia 38 tahun yang mempunyai sejarah perjalanan ke Australia pada 12 Feb.
“Beliau telah pulang pada 16 Feb. Kes tidak mempunyai sebarang gejala sebelum ini. Kes dikesan semasa aktiviti pengesanan kontak dan kes disahkan positif COVID-19 pada 2 Mac,” katanya dalam kenyataan, di sini.
Dr Noor Hisham menjelaskan daripada jumlah kes baharu itu, enam kes dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh, Selangor, manakala satu kes (kes-32) dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur, dan menurutnya semua kes dilaporkan berada dalam keadaan stabil.