Pemancing dikhuatiri lemas selepas tercampak dari bot

Seorang pemancing dikhuatiri lemas selepas didakwa tercampak keluar dari bot fiber yang dinaikinya semasa melakukan aktiviti itu di perairan Pulau Layak di Rompin dekat sini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Azari Miskon berkata, mangsa dikenali sebagai Md Fadhil Hanafi Chik,29, dari Endau, Johor didakwa keluar memancing bersama rakannya, Suhardi Sumarno,39, yang berjaya menyelamatkan diri apabila bot itu didakwa hilang kawalan.

“Keterangan awal Suhardi mendakwa mereka berdua tercampak keluar selepas bot itu berpusing beberapa kali pada malam Selasa apabila dia menghidupkan enjin selain turut mendengar bunyi seperti mangsa dilanggar bot.

“Suhardi mendakwa dirinya berenang sehingga ke Pantai Pulau Layak dan diselamatkan oleh bot Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang melakukan rondaan di sekitar pulau itu semalam,” katanya semasa dihubungi di sini hari ini.

Azari berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang dimulakan pada jam 2 petang semalam melibatkan 13 pegawai dan anggota polis serta APMM bersambung hari ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here