Covid-19: Thailand rancang buka pintu kepada pelawat perubatan

Thailand merancang untuk membuka pintu masuknya kepada 1,000 pelawat perubatan dan perniagaan dalam sehari dengan mewujudkan “travel bubble” atau “koridor perjalanan” dengan negara yang berjaya membendung pandemik Covid-19.

Dengan Thailand merekodkan hari ke-20 tanpa jangkitan tempatan, empat kementerian — Kementerian Luar, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Kesihatan Awam dan Kementerian Belia dan Sukan sudah merangka pelan koridor perjalanan dan dijangka mengemukakan pelan itu kepada Pusat Pentadbiran bagi Situasi Covid-19 (CCSA) pada 17 Jun ini.

Timbalan Jurucakap Kerajaan, Trisuree Traisoranakul berkata “koridor perjalanan” menyasarkan untuk melonjakkan industri pelancongan dan mengurangkan kesan kelembapan ekonomi ekoran pandemik itu.

“Jika pelan ini (koridor perjalanan) berjalan lancar, Thailand akan membuka semula pintu masuknya kepada lebih banyak pelancong dari negara lain,” katanya dalam satu kenyataan.

Di bawah pelan koridor perjalanan, Trisuree berkata pelawat perubatan dan perniagaan dari negara terpilih yang berjaya membendung penularan wabak tidak perlu menjalani kuarantin selama 14 hari.

Bagaimanapun, beliau berkata pelawat berkenaan mesti bebas daripada virus yang membawa maut itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here