Ibu Melutut Berterima Kasih Pada Pegawai Polis Yang Selamatkan Nyawa Anaknya 3 Tahun Lalu

Tindakan seorang wanita melutut di hadapan dua orang anggota polis di China menjadi tular di media sosial.

Menurut South China Morning Post, wanita tersebut bertindak sedemikian kerana dua orang anggota polis terbabit telah menyelamatkan nyawa anak perempuannya ketika rumahnya terbakar pada 3 tahun lepas.

Dalam insiden yang tragis itu, dua orang anggota polis terbabit telah terdengar suara tangisan yang datang dari dalam rumah wanita berkenaan.

Tanpa berlengah, kedua-dua mereka telah masuk ke dalam rumah yang sedang terbakar itu dan mendapati bahawa anak wanita berkenaan yang berumur 2 tahun pada ketika itu sedang terperangkap dalam api yang marak.

Atas tindakan pantas itu, anak wanita tersebut berjaya dibawa keluar dan terselamat daripada insiden terbabit.

Selepas daripada insiden itu, wanita terbabit dikatakan memulakan hidup baru dengan bekerja di bandar lain.

Namun pada suatu hari ketika dia sedang dalam perjalanan untuk menghantar barang, dia telah mengecam anggota polis yang telah menyelamatkan nyawa anaknya itu.

Wanita tersebut kemudiannya telah bertindak melutut sambil menangis di hadapan dua orang anggota polis berkenaan sebagai tanda penghargaan kerana telah merisikokan nyawa mereka demi menyelamatkan anaknya yang terperangkap di dalam kebakaran 3 tahun lalu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here