Permaisuri Agong terima pengiktirafan tertinggi pandu puteri sedunia

Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah semalam mendapat pengiktirafan tertinggi apabila dianugerahkan pingat perkhidmatan Persatuan Pandu Puteri dan Pengakap Puteri Sedunia (WAGGGS).

Pingat perkhidmatan WAGGGS merupakan bentuk pengiktirafan tertinggi kepada individu cemerlang yang mempamerkan perkhidmatan luar biasa kepada pertubuhan Pandu Puteri dan Pengakap Puteri di peringkat nasional dan global.

Pengumuman rasmi dibuat oleh pengerusi Lembaga WAGGGS Sedunia Ana Maria Mideros menerusi Youtube.

Beliau berkata Tunku Azizah amat aktif dalam Persatuan Pandu Puteri Malaysia, memegang jawatan di peringkat tempatan mahupun antarabangsa.

“Baginda amat gigih dalam usaha membangunkan potensi wanita dan juga gadis muda ke arena antarabangsa menerusi pandu puteri,” katanya.

Tunku Azizah pernah menyandang gelaran Yang Dipertua Persatuan Pandu Puteri Pahang, Timbalan Yang Dipertua Persatuan Pandu Puteri Malaysia dan menjadi Penaung Diraja Sahabat Asia Pasifik Persatuan Pandu Puteri pada 2015 dengan keanggotaan dari 27 negara di rantau Asia Pasifik.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here