Sidang Parlimen ‘panas’ Mahathir perjelas siapa pengkhianat

Sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Penguntukan Semula Peruntukan Perbelanjaan) Tahun 2020 di Dewan Rakyat, hari ini menyaksikan Tun Dr Mahathir Mohamad (Bebas-Langkawi) menjelaskan siapa pengkhianat.

Bekas Perdana Menteri itu mendakwa episod pengkhianat bermula di Hotel Sheraton, membabitkan individu dalam parti gabungan disertainya sebelum ini bertindak bekerjasama dengan parti yang terbabit dengan kleptokrasi, curi duit dan rasuah.

Beliau menjelaskan, mereka yang bersekongkol dengan pihak lawan pernah berjanji sebelum ini untuk menolak parti itu namun sebaliknya pula berlaku.

“Saya dapati (Ahli Parlimen) Arau dan Baling mengaku bahawa mereka tidak tahu apa yang berlaku di Hotel Sheraton. Kalau tak tahu, tak payah (perlu) cakaplah.

“Tetapi yang saya tahu berkenaan pengkhianatan, satu orang masuk dalam parti berjanji untuk tolak parti pemerintah yang terbabit dengan kleptokrasi, curi duit, rasuah dan sebagainya,” kata Dr Mahathir.

Untuk rekod, kerajaan Pakatan Harapan (PH) runtuh pada 24 Februari lalu apabila tidak lagi mempunyai majoriti untuk membentuk Kerajaan Pusat susulan keputusan Bersatu dan 11 Ahli Parlimen PKR keluar blok parti itu.

Ekoran itu, PH hanya mempunyai 102 kerusi berbanding 139 kerusi pada PRU-14 menerusi komposisi empat parti komponen dengan sokongan Parti Warisan Sabah (Warisan) dan UPKO.

Dr Mahathir dalam sidang Dewan Rakyat hari ini selanjutnya berkata, rakyat percaya akan apa yang dinyatakan kumpulan pemimpin yang sebelum ini bersama PH.

“Setelah rakyat pilih orang ini mereka menolak harapan rakyat dan mengkhianati mereka dengan beralih menyokong parti yang dahulu katanya mereka lawan. Ini satu pengkhianatan juga,” katanya.

Susulan itu, Datuk Seri Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) bangun semula menjawab hal yang dibangkitkan Dr Mahathir.

Katanya, Dr Mahathir orang pertama yang menerima kemasukkan individu dari Umno yang dilabel bukan pengkhianat tetapi kawan ke Bersatu dengan meletakkan syarat.

“Pada peringkat awal, saya rasa Langkawi orang pertama yang menerima kemasukan bukan pengkhianat, tetapi kawan-kawan saya dari Umno ke Bersatu. Penerimaan berpilih-pilih pula nakkan yang bersih.

“Di situlah pergolakan yang bimbangkan kita apabila Langkawi jadi Perdana Menteri dan Majlis Presiden dalam satu gabungan…tiba-tiba letak jawatan.

“Itu yang sebetulnya kita mahu dengar. Kenapa (Mahathir) letak jawatan tetapi tidak dimaklumkan. Siapa yang ajar dan nasihat Langkawi? Adakah Armada (Angkatan Bersatu Anak Muda) atau Batu Pahat?,” selorohnya.

Isu siapa khianat bermula ketika Mohamed Hanipa Maidin (PH-Sepang) mencelah untuk bertanya soalan kepada Moktar, adakah perpaduan wujud hasil pengkhianatan antara Umno dengan Bersatu dan Pas?

Namun, Moktar yang bangkit menjawab, membalas Hanipa juga seorang pengkhianat keluar dari Pas.

Selanjutnya, isu pengkhianatan itu terus bersambung apabila Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) turut bangun bertanya soalan adakah Kinabatangan setuju bahawa peletakan jawatan Perdana Menteri oleh Mahathir pada Februari lalu yang tidak dibincangkan dalam Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) adalah menunjukkan siapa sebenarnya mengkhianati siapa.

Moktar kemudiannya bangun sambil menjawab, “saya ingat saya bagi Langkawi jawab.”

 

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here