Setem 62 tahun peringati ulang tahun pertama kemerdekaan

KULAI, 31 OGOS: Setem 10 sen berimejkan Stadium Merdeka itu memang tidak ternilai harganya.

Setem berusia 62 tahun yang tertulis ‘Kemerdekaan Ulang Tahun Yang Pertama Persekutuan Tanah Melayu’ dikeluarkan pada tahun 1958 itu merupakan koleksi khas bagi memperingati ulang tahun pertama kemerdekaan tanah air.

Pemilik setem itu, Mohd Sidek Roslan, 37, menyifatkan mewarisi setem berusia berabad lamanya daripada arwah bapanya Roslan Selamat itu tidak ternilai harganya.

Bapanya yang juga seorang bekas tentera telah mengumpul setem dari dalam dan luar negara sejak kecil lagi, katanya yang berkongsi minat yang sama dengan bapanya itu.

Ketika ditemui Bernama di kediamannya di sini baru-baru ini, pakar motivasi itu berkata baginya setem itu tercatat sejarah dan peristiwa yang membuatkannya terkenang akan kesusahan Perdana Menteri pertama Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj ketika itu berjuang untuk membebaskan negara daripada dibelenggu penjajah.

“Mengikut sejarah, kita merdeka pada tarikh keramat 31 Ogos 1957 dan proses untuk dapat kemerdekaan ambil masa yang lama, setem ini kita bukan lihat daripada warna dan kecantikannya sahaja …tetapi peristiwa yang berlaku pada masa itu diterjemahkan dan diabadikan dalam setem.

“Setem ini ayah turunkan kepada saya dan mungkin nanti anak dan cucu cicit saya kelak akan bertanya kepada saya tentang sejarah setem ini yang dikeluarkan sempena ulang tahun pertama kemerdekaan. Bagi saya setem ini ada nilai sentimental tersendiri,” katanya.

Malah lebih menarik, hobi yang diwarisi daripada bapanya itu turut membuatkannya tidak melepaskan peluang untuk mendapatkan setem yang dikeluarkan Pos Malaysia setiap kali sambutan bulan kebangsaan.

“Saya juga ada setem sempena 10 tahun kemerdekaan dan pelbagai lagi dengan imej-imej Tunku Abdul Rahman sedang melaungkan ‘merdeka’ dan gambar Yang di-Pertuan Agong sebelum ini.

“Bagi saya memiliki setem ini membuatkan saya lebih patriotik kerana ada cerita-cerita dan sejarah yang tercatat di dalamnya,” katanya yang kini memiliki lebih 1,000 koleksi setem merentas zaman yang unik dan eksklusif.

Anak kelima daripada 10 beradik itu turut berkongsi petua untuk menjaga setem yang berusia puluhan tahun agar kualitinya terjaga.

“Setem ini seeloknya jangan disentuh dengan menggunakan jari dan perlu pakai penyepit dan harus disimpan dalam album.

“Cap di atas setem pula penting kerana ia menunjukkan nilai setem kerana cap adalah tarikh lahir setem berkenaan bila dikeluarkan,” kata lulusan Universiti Teknologi Malaysia itu.

Dalam pada masa sama, Mohd Sidek juga berharap bersempena dengan sambutan 63 tahun kemerdekaan pada tahun ini, masyarakat akan lebih bersatu padu dan makmur serta menghayati makna kemerdekaan itu dan kesusahan pemimpin dan perwira negara dahulu untuk mencapainya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here