Berhubung terus dengan pesakit Covid-19, lapan kakitangan hospital dipantau rapi

Lapan kakitangan Hospital Lam Wah Ee di sini didapati telah berhubung terus dengan seorang pesakit Covid-19 di negeri itu.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan hospital itu, kesemua kakitangan tersebut telah dipantau secara dekat, dan kesemua peralatan dan kawasan terbabit telah dijalankan proses sanitasi mengikut panduan daripada Kementerian Kesihatan.

Kenyataan itu menyatakan, tidak ada pesakit lain yang berhubungan secara terus dengan pesakit Covid-19 itu.

“Perkhidmatan klinikal di hospital Lam Wah Ee tidak terjejas, dan pesakit boleh meneruskan rawatan mereka di hospital berkenaan dalam keadaan selamat,” menurut kenyataan tersebut.

Kenyataan itu menyebut pesakit Covid-19 itu telah berada di bilik Kecemasan dan Kemalangan hospital tersebut pada 5 September dan pesakit lelaki berusia 89 tahun itu didapati menghidapi gastroenteritis akut.

Kakitangan kecemasan mendapati pesakit menghidapi Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI) dan terus mengasingkan beliau di bilik khas, dan kemudiannya memindahkannya ke Hospital Pulau Pinang untuk pengesahan dan pengurusan, menurut kenyataan itu lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here