Covid-19: Selangor rekod 1,184 kes baharu dalam dua minggu

Sebanyak 1,184 kes baharu Covid-19 direkodkan di Selangor dalam tempoh dua minggu sejak 10 hingga 23 Oktober.

Pasukan Petugas Covid-19 Selangor (STFC) memaklumkan Petaling yang berstatus zon merah merekodkan jangkitan tertinggi iaitu 492 kes dengan 257 daripadanya di mukim Sungai Buloh.

“Bagi daerah sama mukim Petaling merekodkan 127 kes diikuti Damansara (90) dan Bukit Raja (18),” katanya menerusi Facebook semalam.

Klang yang turut berstatus zon merah merekodkan kes baharu kedua tertinggi dengan 193 diikuti Hulu Langat (178), Gombak (126), Kuala Langat (98) dan Sepang (72).

STFC memaklumkan Hulu Selangor yang berstatus zon kuning pula merekodkan 13 kes dan Kuala Selangor mencatatkan 12 kes manakala Sabak Bernam kekal zon hijau dengan sifar kes.

Selangor merekodkan 62 kes baharu semalam, turun berbanding kelmarin dengan 132 kes menjadikan jumlah keseluruhan 3,804 kes.

Selain itu, dua kluster baharu dikesan di negeri ini iaitu kluster Palma dan kluster Jaya dengan 10 disahkan positif wabak.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here