Kilang produk makanan punca tumpahan minyak di alur air

Kilang produk makanan dikenal pasti menyebabkan pencemaran minyak di alur air Kampung Baru Balakong kelmarin, kata Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Ketua Pengarah Norlin Jaafar berkata JAS Selangor memberhentikan serta-merta operasi kilang terbabit selain diarahkan menutup saluran haram ke Sungai Balak dan membersihkan kawasan yang tercemar.

“Kilang dilarang mengendalikan proses perindustrian sehingga langkah pemulihan sepertimana diarahkan itu dipatuhi, termaktub dalam Perintah Larangan (PL) di bawah Peraturan 30, Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009.

“Ketika siasatan dilakukan, kita dapati pelepasan air berwarna putih sedang berlaku melalui saluran paip bawah tanah dan menuju ke Sungai Balak selain efluen mentah dan lelehan minyak hitam mengalir memasuki longkang kilang dan seterusnya ke Sungai Balak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Norlin berkata kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 25(1) dan Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009, Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974.

“JAS juga mengambil tiga sampel kilang itu dan dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia (JKM). Keputusan analisis dijangka diperolehi dalam masa terdekat,” katanya.

Sementara itu, Pengarah JAS Selangor Nor Aziah Jaafar berkata kilang terbabit telah membersihkan kawasan sungai tercemar petang semalam.

Pada 28 Oktober, Lembaga Urus Air Selangor dilaporkan bertindak pantas menyekat aliran minyak hitam di alur air di Jalan KB1/9, Kampung Baru Balakong daripada memasuki Sungai Balak dan Sungai Langat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here