Desak keluar duit KWSP bukti rakyat makin tersepit

Desakan rakyat agar kerajaan membenarkan pengeluaran Akaun Satu caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), membuktikan kehidupan rakyat semakin tersepit.

Ahli Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Nasional, Faiz Fadzil berkata, kegagalan kerajaan Perikatan Nasional (PN) mencari polisi bagi merangsang ekonomi rakyat merupakan salah satu faktor yang menyebabkan kemelesetan ekonomi hari ini.

Bahkan katanya, PN yang diterajui Kabinet Tan Sri Muhyiddin Yassin itu juga gagal menyelesaikan masalah rantaian nilai selain ketidakstabilan politik PN yang menghakis keyakinan pelabur asing.

 “Jika pencapaian mereka benar-benar positif, mengapa pelabur asing lari daripada pasaran saham Malaysia dengan begitu drastik?

“Setakat akhir Oktober 2020 sahaja, aliran keluar bersih dana asing tahun ini menurut MIDF Research melonjak ke RM23 bilion berbanding RM11.41 bilion bagi tahun 2019.

“Rakyat, khususnya golongan B40 dan perusahaan kecil sederhana (PKS), masih berada dalam kesulitan kewangan tetapi ini gagal ditangani dengan berkesan oleh kerajaan PN,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada masa sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir itu tegas mengulangi pendiriannya yang menekankan Program Subsidi Upah (PSU) perlu diteruskan bagi membantu golongan PKS untuk terus bertahan.

Beliau turut menyentuh sektor pekerjaan Malaysia yang dianggap masih lembab apabila rakyat sering disajikan dengan berita pemberhentian kerja termasuk di syarikat-syarikat besar yang kini sudah mencecah hampir 90,000 orang.

Ini katanya termasuklah sektor penerbangan di mana syarikat-syarikat seperti AirAsia, Malaysia Airlines dan Malindo memberhentikan ramai pekerja mereka.

“Apakah tindakan konstruktif atau jalan keluar kerajaan PN untuk mengurangkan impak ini sebanyak mungkin?,” soalnya.

Faiz juga membangkitkan tindakan kerajaan yang lambat meluluskan akta menangani kesan Covid-19 iaitu pada Ogos 2020, sedangkan negara lain seperti Singapura telah meluluskannya pada awal April lalu.

Kelewatan itu katanya, menunjukkan lemahnya tatakelola kerajaan PN yang banyak menumpukan masa untuk urusan politik.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here