Pemimpin dunia terkejut tindakan penyokong Trump merusuh

Pemimpin-pemimpin dunia terkejut dengan tindakan para penyokong Presiden Donald Trump yang bertindak merusuh di bangunan US Capitol ketika perwakilan Kongres sedang mengadakan pertemuan.

Para penyokong Trump berusaha untuk menafikan keputusan kemenangan Joe Biden dalam Pilihan Raya Presiden 3 November lalu.

Perdana Menteri Sweden, Stefan Lofven menerusi ciapannya berkata, tindakan itu merupakan serangan ke atas demokrasi.

”Proses demokrasi memilih presiden mesti dihormati,” katanya.

Perdana Menteri Britain, Boris Johnson dalam tweet menyebut peristiwa di Kongres AS sebagai “mengaibkan”, sambil mengatakan Amerika Syarikat memperjuangkan demokrasi di seluruh dunia, oleh itu peralihan kuasa perlu dilakukan secara damai dan teratur.

Manakala Menteri Luar Jerman,  Heiko Maas berkata, musuh demokrasi akan disorak oleh adegan keganasan di US Capitol dan meminta Trump untuk menerima keputusan pengundi.

“Corak Maidan berasal dari DC,” kata wakil Duta Besar Rusia di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Dmitry Polyanskiy di Twitter, merujuk kepada tunjuk perasaan di Ukraine yang menggulingkan Presiden Ukraine yang disokong Rusia, Viktor Yanukovich pada tahun 2014.

Perdana Menteri Australia, Scott Morrison menggambarkan keadaan di Washington sebagai menyedihkan.

“Kami mengecam tindakan keganasan ini dan mengharapkan peralihan kuasa secara aman kepada pentadbiran yang dipilih dalam tradisi demokratik Amerika,” katanya di Twitter.

Manakala, Setiausaha Jeneral NATO, Jens Stoltenberg menyebut protes ganas di Washington itu sebagai “pemandangan mengejutkan” dan mengatakan keputusan pilihan raya AS yang demokratik mesti dihormati.

Perdana Menteri Sepanyol pula, Pedro Sanchez berkata: “Saya mengikuti dengan rasa khuatir keadaan di Capitol Hill di Washington. Saya percaya pada kekuatan demokrasi Amerika.

“Presidensi baru @JoeBiden akan mengatasi ketegangan ini, menyatukan rakyat Amerika”.

Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau menyatakan beliau bimbang dengan situasi di Washington.

“Kami mengikuti situasinya setiap minit,” kata Trudeau kepada stesen radio News 1130 Vancouver.

Perdana Menteri Finland, Sanna Marin berkata, serangan di Washington DC adalah perkara yang sangat serius dan membimbangkan. Ini menunjukkan betapa pentingnya mempertahankan demokrasi dengan tegas dan kuat setiap masa.

Menteri Luar Negeri Perancis, Jean-Yves Le Drian berkata, keganasan terhadap institusi Amerika adalah serangan serius terhadap demokrasi.

”Saya mengutuknya. Kehendak dan suara rakyat Amerika mesti dihormati” ujarnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here