Tiada PRU-15 dalam tempoh terdekat

Pelaksanaan darurat hingga 1 Ogos 2021 dalam masa sama dilihat bermaksud tiada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) sepanjang tempoh tersebut.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memperkenankan tempoh pelaksanaan darurat itu sehingga suatu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif Covid-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.

Baginda memberi perkenan supaya Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan sebagai langkah proaktif untuk membendung gejala wabak Covid-19 selepas menerima menghadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Istana Negara, semalam.

Pada sesi menghadap yang berlangsung selama 45 minit bermula pada jam 5.30 petang semalam, Muhyiddin telah menyembah maklum keputusan Mesyuarat Jemaah Kabinet berkenaan cadangan pelaksanaan Pengisytiharan Proklamasi Darurat.

Keputusan itu sebagai langkah proaktif untuk membendung dan melandaikan kes positif Covid-19 harian yang telah mencecah empat angka secara berterusan sejak Disember lalu.

Setakat semalam, jumlah jangkitan Covid-19 mencecah 138,224 kes dengan 28,554 kes aktif. Dalam masa sama, virus berasal dari Wuhan, China itu sudah menyebabkan 555 kes kematian di negara ini setakat jam 12 tengah hari semalam.

Pengisytiharan darurat hari ini berlaku ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama 14 hari di enam negeri akan berkuat kuasa jam 12.01 tengah malam ini.

Perkenan Agong untuk darurat juga sekali gus mencatatkan kejayaan Muhyiddin dalam percubaan kedua kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk meminta perintah darurat dalam mengawal penularan Covid-19.

Pada 23 Oktober tahun lalu, Muhyiddin buat kali pertama menghadap Al-Sultan Abdullah di Istana Abdul Aziz, Kuantan, Pahang memohon perkenan pengisytiharan darurat di negara ini.

Walau bagaimanapun, Seri Paduka Baginda bertitah tiada keperluan untuk mengisytiharkan darurat ketika itu.

Untuk rekod, banyak sumber di Putrajaya sebelum ini mengatakan bahawa krisis Covid-19 dan keperluan untuk mengisytiharkan darurat telah dibincangkan dalam mesyuarat khas Kabinet jam 11 pagi semalam.

Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bakal bersiaran langsung dalam Pengumuman Khas Darurat di stesen televisyen utama tanah air jam 11 pagi ini.

Jawatankuasa Bebas                                                                                                      

Sementara itu, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan media hari ini berkata, Seri Paduka Baginda turut berkenan terhadap cadangan Kerajaan bagi pembentukan satu Jawatankuasa Bebas yang akan dianggotai oleh Ahli-ahli Parlimen Kerajaan dan Pembangkang serta pakar-pakar kesihatan dan yang berkait.

Jelasnya, Jawatankuasa Bebas tersebut akan mengesyorkan kepada Seri Paduka Baginda sekiranya pelaksanaan darurat ini dapat ditamatkan lebih awal.

Seri Paduka Baginda turut menyeru rakyat jelata untuk bersama berdisiplin mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan semua perintah yang telah ditetapkan oleh Kerajaan dan agensi-agensi Kerajaan yang berkaitan semasa pelaksanaan darurat dan Perintah Kawalan Pergerakan ini.

Seri Paduka menzahirkan keyakinan bahawa dengan semangat jitu dan kerjasama rakyat jelata seperti yang telah dipamerkan semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan pada tahun lalu, kita mampu sekali lagi membendung penularan wabak Covid-19 dengan berkesan.

Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan harapan agar vaksin Covid-19 yang bakal diterima kelak akan melandaikan keluk pandemik, sekali gus memutuskan transmisi Covid-19 di Malaysia.

Al-Sultan Abdullah mengambil kesempatan ini untuk menzahirkan setinggi penghargaan kepada wira dan wirawati petugas barisan hadapan yang bersabung nyawa dan bertungkus lumus tanpa mengira penat lelah serta masa dalam memikul tanggungjawab memerangi wabak Covid-19.

Al-Sultan Abdullah turut mengambil kesempatan ini mengajak rakyat untuk bersama Seri Paduka Baginda mendoakan semoga Malaysia sentiasa dilindungi dari segala bentuk ancaman dan wabak ini dapat dibendung dengan berkesan dan diakhiri dengan segera.

Seri Paduka Baginda turut mengajak seluruh rakyat mendoakan bencana banjir yang melanda beberapa negeri pada ketika ini tidak berpanjangan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here