Maduro harap hubungan Venezuela-AS kembali pulih

Presiden Nicolas Maduro berharap hubungan keruh Venezuela dan Amerika Syarikat (AS) kembali jernih di bawah pentadbiran baharu Presiden Joe Biden.

Hubungan diplomatik Caracas-Washington terputus hampir dua tahun semasa pemerintahan Donald Trump.

“Kami harus memberitahu AS bahawa kami mahu memperbaiki hubungan demi kebaikan bersama dan masa hadapan,” katanya semasa berucap di televisyen.

Serentak itu, Maduro turut menggesa badan perundangan prokerajaan dan Majlis Kebangsaan untuk mengambil inisiatif membina permulaan baharu dengan Washington.

Washington memutuskan hubungan diplomatik dengan Caracas pada 23 Januari 2019 dan mengiktiraf pemimpin pembangkang, Juan Guaido sebagai Presiden sementara Venezuela.

Susulan itu, pentadbiran Trump mengenakan sekatan ke atas kerajaan sosialis Venezuela antaranya melumpuhkan eksport minyak dan menolak pemilihan semula Maduro pada 2018.

Terdahulu, Guaido menulis bahawa beliau dan penyokongnya akan meneruskan usaha mengadakan pilihan raya baharu dan membebaskan Venezuela.

Guaido turut mendakwa, ‘duta besarnya’ berada di Washington bagi menghadiri majlis angkat sumpah Biden.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here