233 ditangkap jadi keldai dadah

Terpedaya dengan tawaran kerja serta pakej percutian mewah menjadi punca individu sanggup menjadi keldai dadah.

Ini terbukti dengan penahanan 233 orang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA2, Sepang bagi tempoh dua tahun sejak 2019 dengan rampasan dadah mencecah RM6.6 juta.

Tahun 2019 mencatatkan 131 tangkapan dengan rampasan bernilai RM2.7 juta manakala tahun berikutnya seramai 102 individu telah ditahan dengan rampasan berjumlah RM3.9 juta.

Mendedahkan perkara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Selangor, Asisten Komisioner Abdul Latiff Mehat berkata, siasatan pihaknya mendapati sindiket dadah menjadikan lapangan terbang KLIA dan KLIA2 sebagai transit untuk menghantar bekalan dadah tempatan atau ke negara lain.

Menurutnya, sindiket akan mengiklankan tawaran kerja di media sosial dengan upah lumayan selain pakej percutian, pekerjaan di luar negara atau bekerja sebagai wakil syarikat untuk mengambil barang dan seumpamanya.

“Mangsa yang tertarik akan menghubungi nombor telefon yang dipaparkan sebelum berjumpa dengan individu (suspek) berkenaan.

“Selepas berjumpa, mangsa akan direkrut oleh sindiket untuk menjadi ‘keldai dadah’,” katanya.

Abdul Latiff berkata, dadah itu diseludup dengan kaedah ‘body pack’ iaitu diikat pada anggota badan dalam kuantiti satu hingga dua kilogram (kg) sahaja untuk seorang.

Katanya, keldai dadah juga boleh menggunakan pakaian yang besar atau labuh bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here