Erling Braut Haaland menghadiahkan dua gol buat Borussia Dortmund sekaligus menyingkir Sevilla dari peringkat suku akhir Liga Juara-Juara dengan agregat 5-4 yang ‘luar biasa dan menakjubkan’ selepas seri 2-2 dalam pusingan pertama pada Selasa.
Haaland, yang juga merembat dua gol untuk kemenangan 3-2 Dortmund dalam pusingan 16 akhir, telah menjaringkan gol pembuka pada babak pertama dan juga meraih mata dalam penalti yang diambil semula setelah pemain Sevilla mengasari Haaland di Signal Iduna Park.
“Ia merupakan perlawanan yang mencabar – Saya amat letih, namun berasa megah kerana mara dalam pusingan seterusnya,” ulas Haaland kepada Sky.
“Permainan itu sangat luar biasa, dan kemenangan luar biasa dan menakjubkan.”
“Penyerang Sevilla, Youssef En-Nesyri memecah kebuntuan pada minit ke-69 untuk mengejar Dortmund.
“Kami tidak berpuas hati dengan keputusan ini. Sebenarnya nasib tidak menyebelahi kami – mereka hanya membuat cubaan sekali dan berjaya merembat gol,” kata En-Nesyri kepada Movistar.
“Kami bertarung sehingga minit terakhir.”
Haaland, wira pusingan itu, ialah penjaring terbanyak musim ini dengan 10 gol dalam enam perlawanan.
Pemain 20 tahun itu ialah yang termuda untuk mengumpulkan 20 gol dalam Liga Juara-Juara, dengan hanya 14 kali turun padang, memecah rekod yang dipegang oleh Kylian Mbappe.
“Kami telah menyaksikan kehebatan seorang pemain (Haaland) yang akan menjadi sensasi era ini,” ramal jurulatih Sevilla Julen Lopetegui.
Sungguhpun telah kalah tiga daripada empat perlawanan, Sevilla bermain rancak semasa permulaan dan Dortmund terpaksa menghadapi tekanan itu sebelum meledak dan mendahului.
Ketika pasukan itu ketinggalan dalam perlawanan di tempat sendiri, pemain tengah Dortmund Mahmoud Dahoud melorong bola kepada Marco Reus dan disambut Haaland yang menukar arah bola terus ke pintu gol.
Beliau menjaringkan gol lagi selepas separuh masa kedua, namun gol itu terbatal setelah pengadil mengesahkan Haaland telah mengasari pemain pertahanan Sevilla Fernando sebelum merembat gol cantik dari sudut sukar.
Walau bagaimanapun, pengadil juga menghadiahkan sepakan penalti ekoran kekasaran terhadap Haaland.
Reus, pemain lazim sepakan penalti Dortmund, mengundur diri dan membuka peluang buat Haaland untuk membuat cubaan.
Cubaan pertama beliau ditepis ke tiang oleh Yassine Bounou, namun dalam cubaan kedua, penjaga gol Sevilla itu bergerak terlalu awal sebelum bola disepak oleh Haaland lalu membuahkan gol.
Haaland dan pemain tengah Sevilla Joan Jordan dilihat menolak-nolak, dan pihak La Liga kurang senang dengan cara sambutan Haaland.
“Sepakan penalti pertama saya terpesong, kalau dia berdiri di atas garisan sudah pasti saya dapat memasukkan gol, tetapi dia menipu,” tambah Haaland.
“Saya agak gemuruh dengan penalti kedua, namun saya tahu pasti hebat jika dapat meraih gol kedua.”
Pemain pertahanan Dortmund Emre Can dilayangkan kad kuning dan menghadiahkan sepakan penalti kepada Sevilla, yang mana disempurnakan oleh penyerang En-Nesyri.
Namun demikian, Sevilla masih rancak dalam permainan dan menyaksikan En-Nesyri menanduk masuk bola sejurus sebelum wisel penamat ditiup.
“Ia ialah permainan yang bergelora,” ulas jurulatih Dortmund, Edin Terzic.
“Kami tidak meramal untuk pergi sejauh ini, jadi untuk tersenarai dalam lapan terbaik Eropah membuat kami sangat berbesar hati. Erling Haaland sangat cemerlang.”