Berjaya memastikan bekalan makanan stabil dan mencukupi untuk rakyat sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa pertama dilaksanakan sehingga kini adalah antara pencapaian terbesar Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dalam tempoh setahun kerajaan Perikatan Nasional (PN) mentadbir negara.
Menterinya, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, tidak dapat dinafikan pada awal penularan pandemik Covid-19 dan disusuli dengan pelaksanaan PKP, kelancaran rantaian makanan sedikit terganggu.
“Namun, MAFI dengan kerjasama semua pihak yang bertanggungjawab telah memastikan keadaan sentiasa terkawal. Yang penting, sepanjang masa kita telah memastikan bekalan makanan untuk rakyat berada dalam keadaan yang mencukupi dan stabil.
“Sektor pertanian dan industri makanan yang diletakkan sebagai satu perkhidmatan perlu dibenarkan beroperasi sepanjang masa PKP daripada peringkat awal sehingga sekarang,” katanya pada sidang akhbar Pencapaian Setahun Malaysia Prihatin bagi kementeriannya di Wisma Tani di sini pada Rabu.
Ronald berkata, kementeriannya turut mengambil pelbagai pendekatan untuk mengurus kekurangan bekalan dan isu lambakan.
Menurutnya, antara pendekatan yang diambil adalah mewujudkan Pasar Segar Terkawal (PST) di 196 lokasi terpilih dan pemasaran dalam talian atau e-dagang melalui kerjasama strategik dengan Shopee, Lazada, MyGrocer Ourshop atau Ourfarm AirAsia, Dropee dan sebagainya.
“Kita masih belum lagi bebas daripada ancaman Covid-19. Saya yakin MAFI akan terus memastikan jaminan makanan untuk rakyat dalam apa juga keadaan,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan di bawah kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin amat komited dalam memperkukuhkan sektor agromakanan negara dengan menambahkan lagi usaha untuk meningkatkan kualiti dan jaminan sekuriti makanan.
“Saya yakin dengan sokongan dan komitmen berterusan warga MAFI serta pemain industri, kita akan dapat terus memartabatkan sektor agromakanan dan sekuriti makanan negara serta membela warga tani, penternak dan nelayan secara keseluruhannya,” katanya.
Sementara itu, Ronald berkata, MAFI merancang untuk mewujudkan skim insurans pertanian bagi melindungi golongan petani yang sering terjejas akibat bencana, khususnya banjir.
Menurutnya, perbincangan secara serius ketika ini sedang dilaksanakan oleh pelbagai agensi di bawah kementerian berkenaan.
“Kerajaan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) akan membelanjakan lebih kurang RM80 juta untuk bencana alam bagi pelbagai tanaman termasuk padi.
“Jadi, kita melihat ini perbelanjaan besar yang harus ditanggung kerajaan saban tahun. Justeru, kita rasakan perlu ada pendekatan seperti perlindungan insurans bagi sektor agromakanan,” katanya.
Ronald berkata, skim insurans pertanian bukan perkara baharu kerana di negara-negara luar seperti Vietnam, China dan sebagainya telah melaksanakan skim sedemikian.
“MAFI mengambil serius perancangan ini dan kita harap ia akan jadi kenyataan dalam masa terdekat,” katanya.
Dalam pada itu, Ronald berkata, Agrobank telah diminta untuk mengepalai usaha untuk merancang skim insurans pertanian bagi melindungi golongan petani yang sering terjejas akibat bencana, khususnya banjir.
Menurutnya, perbincangan secara serius ketika ini sedang dilaksanakan oleh pelbagai agensi di bawah kementerian itu.
“Pihak industri juga digalakkan untuk menawarkan model-model yang bersesuaian dalam hal ini.