Perkeso agih lebih RM14.1 bilion

Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) telah mengagihkan lebih RM14.1 bilion bantuan kepada lebih 350,000 majikan melibatkan 2.7 juta pekerja di bawah pelbagai pakej rangsangan yang diumumkan kerajaan semasa krisis Covid-19.

Ketua Eksekutifnya, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, Perkeso kini meneruskan usahanya dengan lima inisiatif di bawah Belanjawan 2021 dan Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) bagi memastikan tiada sesiapa yang ketinggalan semasa krisis ini.

“Terdapat PenjanaKerjaya yang meliputi insentif pengambilan pekerja, program latihan dan perantisan belia, lanjutan Elaun Mencari Pekerjaan (EMP) di bawah Sistem Insurans Pekerjaan (EIS) dan Program Subsidi Upah Bersasar untuk industri pelancongan dan peruncitan yang turut dilanjutkan selama sebulan kepada semua pekerja yang terjejas dengan pelaksanaan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Majlis Menandatangani Perjanjian Perkongsian Strategik antara Perkeso dan Universiti Malaya (UM) di unviersiti itu di sini pada Khamis.

Acara itu turut disiarkan secara langsung di laman Facebook Perkeso.

Mohammed Azman berkata, inisiatif di bawah Perkeso termasuk SPS Lindung, sumbangan bersubsidi sepenuhnya oleh kerajaan untuk 100,000 pekerja daripada kumpulan sasar di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri dan Program Saringan Covid-19 yang disasarkan untuk pekerja asing di seluruh negara.

“Perkeso komited untuk melakukan yang terbaik dalam kapasitinya bagi menyokong rakyat dan ekonomi kerana pentadbiran keselamatan sosial yang cekap adalah kunci untuk menguruskan peningkatan pengangguran dan menjaga kehidupan orang ramai yang memerlukan bantuan semasa pandemik ini.

“Pandemik ini telah menunjukkan bagaimana kerajaan tidak dapat pulih kembali tanpa ekosistem perlindungan sosial yang kuat dan ini memerlukan kerjasama dan sinergi rapat antara pemain industri yang berbeza di lapangan,” katanya lagi.

Perkeso dan UM pada Khamis menandatangani perjanjian kerjasama strategik selama lima tahun, menetapkan pelan tindakan bagi Pusat Penyelidikan Kesejahteraan Sosial (SWRC) universiti, sebuah pusat yang dibiayai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), untuk menyokong objektif pembinaan kapasiti Perkeso dan menyumbang secara positif kepada pembangunan ekosistem keselamatan sosial Malaysia melalui program khusus.

Perkongsian ini memberi tumpuan kepada tiga bidang strategik utama iaitu pembinaan kapasiti, penyelidikan dan advokasi bertujuan untuk mengukuhkan pengetahuan keselamatan sosial dan kesedaran dalam kalangan pekerja Perkeso dan orang ramai.

Perjanjian itu ditandatangani oleh Mohammed Azman mewakili Perkeso dan Naib Canselor UM, Profesor Datuk Ir Dr Mohd Hamdi Abd Shukor.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here