FIFA melanjutkan penggantungan Blatter sehingga 2028

Badan induk bola sepak dunia (FIFA), menggantung bekas presidennya, Sepp Blatter, sehingga 2028 pada Rabu selepas menyerahkan lanjutan penggantungan enam tahun dan lapan bulan kerana menerima bonus yang terlalu banyak.

Bekas setiausaha agung FIFA, Jerome Valcke, juga dilanjutkan tempoh penggantungan dengan jumlah yang sama.

Penggantungan baharu itu hanya berkuatkuasa apabila tempoh penggantungan semasa ke atas Blatter dan Valcke kerana rasuah, berakhir masing-masing pada Oktober tahun ini dan Oktober 2025.

Jawatankuasa Etika FIFA berkata ia juga mendenda kedua-dua bekas pemimpin itu sejumlah satu juta Swiss francs.

Blatter, 85, menerima 23 juta Swiss francs dalam ‘bonus luar biasa’ dikaitkan dengan Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan dan Piala Dunia 2014 di Brazil dan juga kejohanan Piala Konfederasi di Brazil, kata Jawatankuasa Etika ketika membuat rumusan keputusan mereka.

Valcke, 60, yang menjadi orang kanan Blatter sepanjang 17 tahun menjadi presiden, menerima bonus 30 juta Swiss francs dalam tempoh yang sama, kata jawatankuasa itu.

Bekas wartawan sukan itu pada awalnya digantung 12 tahun tetapi dikurangkan kepada 10 tahun selepas rayuan. Kini penggantungannya adalah sehingga 2032.

FIFA berkata Blatter dan Valcke melanggar Kod Etika dengan “menawarkan dan menerima hadiah atau faedah lain” dan menerusi “penyalahgunaan kedudukan”.

Ia berkata dalam satu kenyataan: “Siasatan ke atas Blatter dan Valcke meliputi beberapa dakwaan, terutama sekali melibatkan pembayaran bonus berkaitan dengan pertandingan FIFA yang dibayar kepada pegawai tertinggi pengurusan FIFA, beberapa pindaan dan lanjutan kontrak kerja, selain imbuhan oleh FIFA dari kos perundangan swasta dalam kes Valcke.” 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here