Belanda raih kemenangan pertama

Belanda meraih kemenangan pertama mereka dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2022 pada Sabtu apabila menewaskan Latvia 2-0 di  hadapan 5,000 penonton, yang menyaksikan Stephanie Frappart mencipta sejarah dan satu lagi protes pra-perlawanan untuk hak asasi manusia di Qatar.

Skuad kendalian Frank de Boer itu bangkit dari kekalahan kepada Turki pada perlawanan pertama dengan aksi meyakinkan yang menggembirakan sejumlah kecil penonton di Arena Johan Cruyff.

Ibu kota Belanda  itu akan menganjurkan perlawanan  untuk kejohanan tertangguh Euro 2020 pada tahun ini dan penonton, yang semua diuji negatif COVID-19, berada pada perlawanan itu sebagai sebahagian eksperimen untuk melihat sama ada kejohanan dengan penonton boleh diadakan dengan selamat semasa pandemik.

Mereka pulang dengan gembira selepas gol pembukaan Steven Berguis dalam separuh masa pertama dan gol Luuk de Jong pada minit ke-69, walaupun mereka boleh menang dengan lebih banyak gol jika tidak mensia-siakan peluang selepas dua cubaan terkena palang.

“Cara kami bermain hari ini menggembirakan saya tetapi menang 2-0 selepas mencipta banyak peluang adalah tidak mencukupi,” kata De Boer.

Belanda kini di tangga ketiga Kumpulan G Zon Kelayakan Eropah, tiga mata di belakang Turki, yang menewaskan Norway 3-0 di tempat lawan dan Montenegro, yang juga meraih kemenangan kedua apabila menewaskan Gibraltar 4-1.

Belanda akan bertandang ke Gibraltar untuk perlawanan seterusnya Selasa ini.

Frappart sekali lagi mencuri perhatian apabila menjadi wanita pertama yang mengadili perlawanan bola sepak lelaki pada kempen kelayakan Piala Dunia.

Pengadil wanita dari Perancis itu menjadi wanita pertama mengadili perlawanan bola sepak lelaki pada kejohanan Liga Juara-Juara di antara Juventus dan Dynamo Kiev pada bulan Disember tahun lepas.

Frappart, 37, juga wanita pertama menjadi pengadil dalam Ligue 1 Perancis, pengadil untuk final Piala Super UEFA di antara Liverpool menentang Chelsea dan membuat penampilan sulung dalam Liga Europa pada bulan Oktober.

Belanda menjadi pasukan ketiga selepas Norway dan Jerman yang melakukan bantahan sebelum perlawanan untuk menyokong pekerja imigran yang terlibat dalam pembinaan stadium untuk Piala Dunia 2022 di Qatar.

Mereka memasuki padang di Amsterdam dengan memakai kemeja T bertulis “Bola sepak menyokong PERUBAHAN”, yang disasarkan kepada Qatar.

Qatar berdepan kritikan kerana layanan terhadap pekerja imigran, ramai di antara mereka terlibat dalam persediaan untuk Piala Dunia 2022 dengan aktivis menuduh pekerja mengeksploitasi pekerja dan memaksa mereka bekerja dalam keadaan yang berbahaya.

Pihak berkuasa Qatar menegaskan mereka sudah melakukan lebih banyak berbanding negara lain di rantau itu untuk meningkatkan kebajikan pekerja.

Persatuan Bola Sepak Belanda (KNVB), tidak pernah menyokong penganjuran Piala Dunia di Qatar tetapi tidak merancang untuk memboikot kejohanan itu.

Pada Jumaat lepas, badan induk bola sepak dunia (FIFA), berkata Jerman dan Norway tidak akan dihukum kerana demonstrasi sebelum perlawanan itu pada pertengahan minggu.

Pemain Jerman memasuki padang dengan kemeja T bertulis “Hak Asasi Manusia” ketika lagu kebangsaan masing-masing dimainkan sebelum menewaskan Iceland 3-0.

Norway juga memakai kemeja T dengan tulisan “Hak Asasi Manusia, dalam dan luar padang” sebelum perlawanan menentang Gibraltar.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here