15 premis jual air kosong lebih RM1 diberi notis

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang, mengenakan notis kepada 15 peniaga kerana menjual minuman air kosong melebihi RM1 segelas.

Pengarahnya Mohd Ridzuan Ab Ghapar berkata, semua peniaga yang telah dikenakan notis itu diberikan tempoh lima hari untuk memberi maklum balas kepada KPDNHEP Pulau Pinang, terhadap justifikasi harga yang ditetapkan mereka.

“Penguatkuasa KPDNHEP Pulau Pinang telah menjalankan Ops Catut 8.0 (Air Kosong) sejak 7 April hingga semalam, dan sebanyak 35 premis membabitkan restoran mewah, makanan segera, francais dan kedai makan serta warung di seluruh negeri.

“Berdasarkan kutipan maklumat harga daripada pemeriksaan yang dijalankan, purata harga air kosong yang dijual adalah lingkungan 50 sen, namun ada peniaga menjual minuman air kosong melebihi RM1 segelas dan kami telah mengeluarkan notis menurut Seksyen 21 Akta Kawalan Harga Dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Ridzuan berkata sebarang aduan, pengguna boleh menyalurkan kepada KPDNHEP untuk tindakan antaranya melalui saluran aduan Whatsapp KPDNHEP di talian 019-279 4317, pusat panggilan di talian 1 800 886 800 atau Bilik Gerakan KPDNHEP Pulau Pinang, 043840245.

Sementara itu, dalam kes berasingan Ketua Pegawai Penguatkuasa Daerah KPDNHEP Timur Laut, Ahmad Ahrazzuddin Ahmad Hamdan berkata, pihaknya menyita 1,900 kilogram (kg) tepung gandum bernilai RM4,637 di sebuah premis membuat makanan di Teluk Kumbar dekat sini, kerana menyimpannya tanpa permit yang sah dalam pemeriksaan pukul 4.30 petang semalam.

“Kes itu disiasat menurut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan para peniaga yang menjual atau menggunakan barang kawalan berjadual perlu memastikan mempunyai lesen atau permit kebenaran yang dikeluarkan oleh KPDNHEP, bagi mengelakkan mereka dikenakan tindakan undang-undang,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here