PEKERJA LOMPAT PAGAR SEBUAH SYARIKAT BUKAN LARI DARI OPERASI.

Shah Alam, Julai 7-

Insiden kononnya pekerja melompat keluar pagar sebuah syarikat kurier dan melarikan diri di Seksyen 22, petang semalam bukan kerana operasi pihak berkuasa tetapi susulan panik mendengar bunyi penggera kebakaran.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Baharudin Mat Taib berkata, kejadian yang berlaku sekitar 4.30 hingga 5 petang itu berpunca daripada gangguan “false fire alarm trigger” syarikat berkenaan dan ia kini dalam proses pemeriksaan sistem pendawaian.

Baharudin berkata, bunyi penggera tersebut membuatkan ramai pekerja panik dan melarikan diri ekoran takut sekiranya berlaku kebakaran di premis berkenaan.

“Kejadian viral dalam video yang menunjukkan ramai pekerja lompat pagar lari dari syarikat itu bukan kerana operasi atau apa-apa serbuan pihak penguat kuasa.

“Memandangkan syarikat tersebut masih baru sejak diambil alih lebih kurang sebulan lalu, ramai pekerja serta pengurusan belum didedahkan dengan ilmu ‘fire drill’ seperti tempat berhimpun dan pelan evakuasi (sekiranya berlaku kebakaran dan bencana),” katanya dalam kenyataan semalam.

Terdahulu tular sebuah video berdurasi 57 saat di media sosial yang mendakwa pekerja sebuah syarikat kurier di Seksyen 22 melompat dan memanjat pagar melarikan diri daripada operasi yang dilaksanakan pihak berkuasa.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here