JANGKITAN COVID-19 SEBAGAI ALASAN PENANGGUHAN PARLIMEN- CHARLES SANTIAGO

Petaling Jaya, Aug 2-

Orang ramai boleh melihat putar belit kerajaan, kata seorang Ahli Parlimen kepada Putrajaya, susulan Dewan Rakyat ditangguhkan dan anggota pembangkang dihalang polis daripada memasuki bangunan itu pagi tadi.

Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago, berkata dengan tekanan semakin meningkat terhadap kerajaan daripada semua pihak, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, Kabinetnya, Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun serta timbalannya tiada pilihan selain meletak jawatan.

“Itu pun kalau mereka ada rasa malu.”

Dalam kenyataan, Santiago menyelar penggunaan “helah jangkitan Covid-19” sebagai alasan menangguhkan persidangan hari ini sebagai “kebudak-budakan” selain menganggap tindakan polis menutup jalan ke Parlimen satu penghinaan terhadap keadilan.

Katanya, Muhyiddin melengahkan masa kerana tidak dapat menjelaskan pembatalan Ordinan-ordinan Darurat yang dikatakan Istana telah dibuat tanpa perkenan Yang di-Pertuan Agong.

“Rakyat bukannya bodoh. Mereka tahu putar belit itu untuk menghalang Ahli Parlimen mengundi berhubung darurat, yang jelas akan menunjukkan Muhyiddin cuma mempunyai majoriti tipis. Itu pun kalau ada sokongan langsung.”

Katanya, bantahan seperti yang diadakan oleh Ahli Parlimen pembangkang hari ini, protes #Lawan semalam dan Hartal Doktor Kontrak minggu lalu menunjukkan tekanan semakin meningkat terhadap kerajaan daripada orang ramai.

“Kita juga menyaksikan kerajaan menggunakan polis sebagai alatnya untuk menyekat bantahan yang sahih. Namun bantahan-bantahan ini tidak akan berhenti kerana rakyat sudah bosan dan hilang sabar.”

“Memalukan untuk tetap enggan melepaskan kuasa walaupun tembelang sudah pecah, terutama apabila tadbir urus baik diperlukan untuk meredakan keadaan akibat wabak yang menular kini.”

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here