LELAKI BERGELANG PUTIH BERSAMA ANAK DI RESTORAN MAKANAN SEGERA

Butterworth, Ogos 30-

Pelayar Facebook hari ini mengecam tindakan seorang lelaki yang memakai Gelang Pengawasan dan Pemantauan di Rumah (HSO) berwarna putih apabila dia dirakam keluar membawa kanak-kanak yang dipercayai sedang demam untuk membeli makanan di restoran makanan segera di Bagan Ajam, di sini.

Kecaman itu berikutan tular beberapa keping gambar lelaki berkenaan yang dirakam meletakkan pelitup muka di dagu sedang menunggu pesanan makanannya siap dalam kenderaannya itu.

Lelaki yang memandu kereta jenis Proton Saga itu dilapor masuk ke kawasan pandu lalu restoran untuk memesan makanan.

Manakala, di bahagian tempat duduk hadapan kereta berkenaan, terdapat juga seorang kanak-kanak yang pada dahinya ditampal gel penyejuk badan dipercayai sedang demam.

Warganet yang melihat gambar tular itu menyifatkan tindakan lelaki terbabit adalah tidak bertanggungjawab kerana perlu menjalani kuarantin di rumah tetapi keluar ke tempat awam.

Namun, terdapat juga segelintir warganet yang menyuarakan rasa simpati yang dakwa mereka lelaki itu berkemungkinan terpaksa keluar berikutan tiada kenalan atau keluarga yang boleh membantunya membeli makanan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor ketika dihubungi berkata, polis sudah mengenal pasti lelaki terbabit.

“Kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang menjalankan siasatan ke atas lelaki itu sebelum mengambil tindakan selanjutnya,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here