SOAL KEPENTINGAN MASYARAKAT INDIA DALAM RMK 12- SANTIAGO

Petaling Jaya, Sept 8-

Ahli Parlimen Klang Charles Santiago mempertikaikan dakwaan seorang pakar dalam isu kemiskinan bahawa organisasi masyarakat India tidak mengadakan perbincangan mengenai Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12)

Katanya, beliau telah mengadakan dialog sebegitu dan bagi pihak Pakatan Harapan (PH) menyampaikan pandangan masyarakat India untuk dimasukkan dalam inisiatif kebangsaan.

“Saya tak rasa Denison maklum tentang ini,” katanya kepada FMT, merujuk kepada ahli sosiologi dari Universiti Kebangsaan Malaysia, Denison Jayasooria.

Jayasooria baru-baru ini mengadu bahawa tiada parti politik atau organisasi sivil masyarakat India mengadakan perbincangan awam mengenai RMK12.

Katanya, sekarang sudah terlambat untuk menerapkan idea daripada masyarakat. RMK12 akan dibentangkan di Parlimen pada 27 Sept.

Santiago berkata, beliau merancang untuk mengadakan perbincangan sekali lagi tetapi terhalang oleh perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD).

Katanya, dialog yang dianjurkannya Disember lalu dihadiri 60 orang, termasuk Ahli Parlimen Ipoh Barat M Kula Segaran, dua ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan wakil pelbagai kumpulan sivik.

Subjek yang dibincangkan merangkumi industri kecil dan sederhana dan keusahawanan, pendidikan, pengangguran dan situasi tidak bernegara.

Salah seorang pesertanya adalah Gunasegeran Kandasamy, yang menyelaras gabungan badan bukan kerajaan (NGO) masyarakat India.

Bercakap dengan FMT, Gunasegeran berkata, satu kenyataan media dikeluarkan susulan dialog itu dan disiarkan di portal berita dan akhbar harian berbahasa Tamil.

Penganjurnya memuat naik cadangan mereka ke portal Unit Perancang Ekonomi bagi rancangan itu pada 13 Jan, katanya.

“Jadi anda tidak boleh berkata kami tidak melakukan apa-apa.”

Katanya lagi, beliau menyampaikan pertemuan minggu lalu kepada wakil rakyat daripada masyarakat India.

“Kami mencadangkan kepada mereka supaya bekerjasama dan fokus kepada pemerkasaan ekonomi dan kelestarian alam sekitar,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here