Tidak semua sekolah dibuka pada 3 Oktober secara bertahap, jelas menteri

Kementerian Pendidikan (KPM) menegaskan pembukaan sekolah di seluruh negara pada 3 Okt nanti adalah secara berperingkat mengikut Fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Menteri Kanan Pendidikan Radzi Jidin berkata, berdasarkan pemantauan KPM masih ada yang menganggap semua sekolah di seluruh negara akan dibuka pada 3 Okt ini, meskipun perincian mengenainya sudah dijelaskan pada sidang media kelmarin.

Jelas beliau, jika negeri itu berada dalam Fasa Satu PPN maka tidak ada sekolah yang dibuka di negeri terbabit.

“Pada maklum balas yang kami lihat secara langsung atau pun melalui media termasuklah media sosial, kita dapati ada yang masih menganggap seolah-olah pada 3 Okt ini, semua sekolah di seluruh negara akan dibuka,” katanya dalam video penjelasan pengoperasian sekolah di Facebook malam tadi.

Mengulas lanjut perkara itu, Radzi berkata bagi negeri berada di Fasa Dua PPN pula, pembukaan untuk sekolah rendah hanya melibatkan Murid Berkeperluan Khas (MBK) di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (SKPK) dan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI), sementara untuk sekolah menengah melibatkan pelajar Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) semester dua yang akan menduduki peperiksaan pada akhir Oktober ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here