WARGA EMAS MENINGGAL DUNIA DI JPJ KETIKA MENUNGGU GILIRAN

Kuala Lumpur, Sept 15-

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengesahkan kejadian seorang lelaki warga emas meninggal dunia di kerusi ruang kaunter menunggu JPJ Cawangan Bangi, Seksyen 7 Bandar Baru Bangi, di sini, semalam.

JPJ dalam satu kenyataan hari ini, memaklumkan warga emas berusia 76 tahun itu diberikan layanan khas untuk berurusan dengan Pejabat JPJ terbabit tanpa perlu beratur.

Katanya, sebelum itu mangsa sudah diambil suhu badan dan didapati normal serta status MySejahtera juga menunjukkan mangsa lengkap suntikan vaksinasi.

“Lelaki itu dibawa ke kerusi ruangan menunggu pelanggan sebelum dipanggil untuk melaksanakan urus niaga JPJ.

“Semasa di ruangan menunggu, mangsa dikatakan secara tiba-tiba tidak sedarkan diri dan panggilan kecemasan MERS 999 dibuat oleh Ketua Bahagian Pengurusan JPJ Cawangan Bangi.

“Sebuah ambulans bersama pasukan paramedik tiba dan memeriksa keadaan mangsa, sebelum mengesahkan lelaki itu sudah meninggal dunia,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan lagi, mayat kemudian dihantar ke Hospital Kajang untuk tindakan lanjut.

Seorang lelaki warga emas ditemui meninggal dunia ketika menunggu giliran untuk berurusan di kaunter JPJ Cawangan Bangi, Seksyen 7, Bandar Baru Bangi.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Hassan, dilaporkan berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 10.21 pagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here