Hanya individu lengkap divaksin boleh ‘dine-in’, SOP MKN tak dikemas kini, kata KJ

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin mengesahkan hanya individu yang lengkap divaksin dibenarkan untuk “dine-in” di semua fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Dalam catatan di Twitter, Khairy berkata, prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) tidak dikemas kini. “Kemudahan ‘dine-in’ hanya dibenarkan untuk mereka yang sudah lengkap divaksin bagi semua fasa pemulihan. Kenyataan rasmi akan menyusul,” katanya.

Catatan itu turut dikongsi Menteri Kanan Pertahanan Hishammuddin Hussein yang menjelaskan, Jemaah Menteri juga bersetuju supaya setiap kemudahan hanya dibenarkan untuk mereka yang lengkap divaksin. Ya, malah bukan sahaja ‘dine-in’ tetapi Jemaah Menteri juga setuju setiap kemudahan dengan syarat vaksinasi lengkap kekal di semua fasa PPN.

“@MKNJPM telah diarahkan supaya segera mengemaskini peraturan dan SOP berkaitan yang mana ia mesti dipatuhi sepenuhnya semua pihak demi perangi Covid-19,” katanya.

Terdahulu, FMT melaporkan bawah fasa ketiga Pelan Pemulihan Negara (PPN), semua pelanggan dibenarkan makan dalam premis restoran, sama ada mereka telah menerima vaksin atau tidak.

Mulai hari ini, Lembah Klang dan Melaka memasuki fasa ketiga PPN, bersama Perlis, Pahang, Terengganu dan Sarawak. SOP MKN untuk negeri di bawah fasa ketiga tidak menyatakan pelanggan mesti lengkap vaksin untuk mendapat kemudahan itu.

Bagi SOP negeri bawah fasa kedua, “dine-in” dibenarkan hanya untuk pelanggan yang lengkap divaksin. Bagaimanapun, aktiviti makan di dalam premis bagi tujuan “perjumpaan sosial” masih belum dibenarkan dan waktu operasi premis kekal daripada 6 pagi hingga tengah malam.

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here