297 warga asing tinggal di dalam kontena termasuk 35 wanita ditahan

Seramai 297 warga asing ditahan dalam serbuan imigresen di sebuah kawasan rumah kongsi di Jalan Eco Majestic 1/2c, Kajang awal pagi Jumaat. Ketua Pengarah Imigresen, Khairul Dzaimee Daud berkata, seramai 326 warga asing yang tinggal di dalam tujuh buah kontena diperiksa dalam operasi yang bermula jam 12 tengah malam.

Khairul berkata, kebanyakan daripada warga asing itu dipercayai bekerja sebagai buruh binaan dan sektor perkilangan malah ada yang menjalankan perniagaan sendiri. Menurutnya, semua yang ditahan terdiri daripada 94 lelaki dan 28 wanita Indonesia, 95 lelaki Bangladesh, 66 lelaki Myanmar, seorang lelaki Ghana serta enam lelaki dan tujuh wanita Vietnam.

Kehadiran wanita warga asing yang ramai ini khususnya dari Vietnam menimbulkan keraguan kerana disyaki menjalankan aktiviti yang tidak bermoral.

Penduduk sekitar mengadu bahawa terdapat petempatan yang berada dalam keadaan sesak, tidak mematuhi aspek kebersihan serta berpotensi menjadi tempat pembiakan denggi katanya kepada pemberita ketika ditemui.

Beliau berkata, kawasan petempatan itu jelas melanggar Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja atau Akta 446. Bagi kesalahan tidak mematuhi Akta 446 ini majikan boleh didenda sebanyak RM50,000 malah ada yang pernah dikenakan denda mencecah RM350,000 sebelum ini katanya.

Semua yang ditahan akan direman selama 14 hari di Depot Imigresen Semenyih untuk siasatan lanjut, katanya. Mereka yang ditahan melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1) kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah atau Seksyen 15(1)c, iaitu tinggal lebih masa katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here