Kenderaan orang awam di Jeti Pulau Ketam ditenggelami air

Port Klang: Keadaan paras air laut lebih tinggi berbanding semalam susulan fenomena air pasang besar, namun cuaca kekal baik tanpa hujan dan angin di Jeti Pulau Ketam, di sini.

Ketua Zon Bomba Klang, Hussin Ab Rahman berkata, berdasarkan pemantauan yang bermula 6 pagi tadi, keadaan air di sekitar jeti melebihi paras ketinggian semalam.

“Kalau diikutkan jadual yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi, sepatutnya hari ini 5.6 meter tetapi berdasarkan pemantauan, kemungkinan melebihi paras itu, tetapi masih terkawal kerana tiada hujan juga angin.

Dalam keadaan biasa, kira-kira setengah jam limpahan air ini berada dalam keadaan statik sebelum kembali surut katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas membuat pemantauan bersama anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pelabuhan Klang pagi tadi.

Sepanjang pemantauan itu katanya, terdapat kenderaan orang awam yang diparkir berhampiran jeti ditenggelami limpahan air berkenaan hingga paras lutut.

Kenderaan yang diparkir di sini, ada dua kemungkinan sama ada pemilik biasa situasi begini di sini, dia tahu air tidak akan naik tinggi. Kedua, mungkin orang luar tidak biasa tempat ini, jadi mereka letak kenderaan di sini untuk ke Pulau Ketam.

Selama tempoh ini hingga 7 November, saya nasihatkan orang ramai yang hendak ke Pulau Ketam dan sebagainya, parkir di tempat lebih selamat bagi mengelakkan kerosakan sekiranya ditenggelami air.

Elakkan parkir berhampiran jeti, selain boleh tenggelam ketika air pasang besar berlaku, ia akan menyusahkan pihak lain untuk menyelamatkan kenderaan berkenaan, katanya.

Dalam pada itu katanya, anggotanya bertugas memantau paras air seperti di Sungai Keramat dan Jeti Pangkalan Tok Muda turut memaklumkan keadaan masih terkawal. Di kawasan sana juga terkawal, walaupun ada sedikit limpahan tetapi tidak membahayakan kawasan penduduk.

Mengikut bacaan esok juga dijangka paras air seperti hari ini, 5.6 meter tetapi bergantung kepada cuaca namun kita sentiasa mengharapkan yang baik, katanya.

Tinjauan NSTP di Jeti Pulau Ketam mendapati kelihatan kira-kira 10 kenderaan orang awam yang diparkir sekitar kawasan jeti ditenggelami air sehingga paras lutut. Sekitar jam 6.05 pagi tadi, limpahan air laut juga melebihi landasan kereta api sehingga ke Balai Polis Pelabuhan Klang.

Pada jam 6.45 pagi, air mulai surut perlahan-lahan, kelihatan juga orang ramai menunggu air surut untuk ke jeti sama ada bekerja sekitar jeti atau ke Pulau Ketam.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here