Lagenda bola sepak negara Syed Ahmad meninggal dunia

KANGAR: Pemergian legenda bola sepak negara era 70-an Syed Ahmad Syed Abu Bakar yang menghembuskan nafas terakhir tengah hari ini akibat serangan jantung menjadi berita duka buat arena sukan negara. Anak kepada penyerang berbisa negara itu, Syed Abu Bakar Syed Ahmad, 40, berkata bapanya menghembuskan nafas terakhir di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar di sini selepas keadaan kesihatannya semakin merosot.

Allahyarham berusia 76 tahun dimasukkan ke wad hospital berkenaan dua hari lepas dan kesihatannya sudah merosot sejak sebulan lepas, katanya ketika dihubungi Bernama hari ini. Syed Abu Bakar berkata jenazah bapanya dikebumikan di Makam Diraja Lama Arau hari ini. Syed Ahmad meninggalkan seorang balu, Samihah Ghazali, 75, bersama lima cahaya mata.

Sepanjang bergelar penyerang pasukan kebangsaan, Syed Ahmad pernah menjaringkan gol dalam aksi kelayakan Sukan Olimpik di Seoul, Korea Selatan pada 1971, sekali gus menyaksikan Malaysia layak ke temasya Olimpik di Munich, Jerman pada 1972. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here