Turkiye dilanda gempa baharu bermagnitud 6.4

Ankara: Gempa bumi baharu bermagnitud 6.4 pada Isnin membunuh tiga orang dan mencederakan lebih 200 orang di beberapa bahagian di Turkiye yang sebelum ini dilanda bencana sama dua minggu lalu. Pegawai berkata, lebih banyak bangunan runtuh, memerangkap penghuni dan beberapa orang cedera di Turkiye dan Syria.

Gempa bumi baharu pada Isnin itu berpusat di bandar Defne, di wilayah Hatay, Turkiye, antara kawasan terjejas teruk dengan gempa bumi bermagnitud 7.8 pada 6 Februari lalu. Ia dirasai di Syria, Jordan, Cyprus, Israel sehingga ke Mesir, dan disusuli gegaran bermagnitud 5.8.

Menteri Dalam Negeri Suleyman Soylu berkata, tiga orang terbunuh dan 213 cedera. Ketika ini, pasukan mencari dan menyelamat berada di tiga bangunan yang runtuh di mana lima orang dipercayai terperangkap. Beberapa bangunan runtuh dalam kejadian terbaharu itu dan memerangkap penduduk, kata Datuk Bandar Hatay, Lutfu Savas.

Beliau memberitahu stesen televisyen NTV bahawa orang ramai mungkin kembali ke rumah atau cuba untuk mengalihkan perabot dari bangunan yang rosak. Naib Presiden Turkiye Fuat Oktay berkata, lebih daripada lapan orang dimasukkan di hospital di Turkiye. Agensi berita Syria, Sana, melaporkan enam orang cedera di Aleppo kerana sisa runtuhan.

Di Hatay, pasukan pencarian polis menyelamatkan seorang individu yang terperangkap di dalam bangunan tiga tingkat dan cuba untuk mencari tiga lagi mangsa di dalamnya, lapor televisyen HaberTurk.

Gempa bumi pada 6 Februari lalu sudah membunuh hampir 45,000 orang di dua negara – sebahagian besarnya di Turkiye di mana lebih 1.5 juta orang masih berada di khemah perlindungan. Pihak berkuasa Turkiye melaporkan lebih 6,000 gegaran susulan selepas itu.

Dalam pada itu, wartawan HaberTurk yang melaporkan dari Hatay berkata, mereka dikejutkan dengan gegaran berkenaan dan berpegangan antara satu sama lain untuk mengelak daripada terjatuh. Di bandar Adana, Turkiye, saksi Alejandro Malaver berkata, ramai orang meninggalkan rumah untuk berada di jalanan, membawa bersama selimut ke dalam kereta.

Malaver berkata, semua orang takut dan “tiada yang mahu kembali ke dalam rumah mereka. Dalam pada itu, pertahanan awam pembangkang Syria dikenali sebagai White Helmets melaporkan bahawa beberapa orang cedera di kawasan dikuasai pemberontak di barat laut selepas melompat dari bangunan atau terkena serpihan bangunan di bandar Jindayris, antara bandar paling teruk terjejas akibat gempa bumi pada 6 Februari.

White Helmets berkata, beberapa bangunan yang rosak dan terbiar, runtuh, di barat laut Syria, namun ia tidak menyebabkan kecederaan. Di bandar Idlib, penduduk yang ketakutan bersedia untuk tidur di taman dan kawasan awam lain, manakala stesen minyak dipenuhi oleh orang yang cuba mendapatkan bekalan petrol untuk melarikan diri sejauh mungkin dari bangunan yang mereka fikir akan runtuh.- MH

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here