Amirudin mahu libat MCA, MIC dalam kerajaan negeri jika pertahan Selangor

Pengerusi PH negeri berkata pembabitan parti itu dalam kerajaan perpaduan perlu demi kestabilan politik.

SHAH ALAM: Menteri Besar Amirudin Shari memberi jaminan peranan MCA dan MIC akan dilibatkan dalam pembentukan pentadbiran kerajaan negeri pada masa akan datang jika gabungan parti kerajaan perpaduan dapat mempertahankan Selangor pada PRN.

Amirudin yang juga pengerusi Pakatan Harapan (PH) negeri, berkata penglibatan parti dalam kerajaan perpaduan dalam pentadbiran negeri penting demi kestabilan politik di negeri ini.

Sehubungan itu, katanya beliau amat mengharapkan pembabitan MCA dan MIC semasa tempoh berkempen menjelang PRN kali ini walaupun kedua-dua parti itu sudah menyatakan hasrat tidak bertanding di enam PRN bulan hadapan.

“Mereka juga harus dilibatkan sama semasa kempen dan pentadbiran masa depan kerajaan negeri. Saya sedia sebut hal itu, kerana kita mahu mengekalkan konsep gabungan kerajaan perpaduan yang saya anggap suatu jawapan kepada ketidaktentuan politik yang tercipta pada 2020.

“Kita mahu lebih ramai terlibat dan bersama-sama, ‘more heads are better than one’,” katanya pada sidang media selepas majlis penyerahan Program Bantuan Sekolah Negeri Selangor 2023.

Sebelum ini, MCA dan MIC mengumumkan tidak bertanding pada PRN Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan, Kedah, dan Terengganu, bagi menumpukan kepada persediaan menghadapi PRU16.

PRN di enam negeri itu dijalankan serentak dengan 12 Ogos ditetapkan sebagai tarikh pengundian, manakala tarikh penamaan calon pada 29 Julai, dan pengundian awal 8 Ogos.

Article Source: FMT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here