Dapat makanan percuma 12 kali sehari

Georgetown, Okt 6.
Seorang wanita warga emas berusia 70-an dari Johor, rela menjadi gelandangan di Pulau Pinang, kerana sering mendapat makanan percuma, kadangkala sehingga 12 kali sehari.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri, Zakaria Taib, mendedahkan wanita yang tidur di kaki lima Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR) itu, mendakwa baru saja tiba di negeri ini beberapa hari lalu untuk bertemu anaknya.

Kita dapati memang banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu persendirian bermurah hati mengedar makanan untuk golongan tersebut di sekitar bandar ini jadi mereka tidak bimbang kelaparan walaupun tiada tempat tinggal tetap.

Namun, masalah timbul apabila makanan tersebut akhirnya dibuang merata-rata, mungkin kerana ia tidak menepati selera atau mereka menerima terlalu banyak makanan, katanya selepas menyertai Op Gelandangan di sini. Zakaria berkata, pihaknya menyarankan bantuan makanan disalurkan terus kepada Pusat Transit Gelandangan (PTG) di Jalan Magazine di sini atau diedarkan kepada pusat atau rumah kebajikan yang dihuni anak-anak yatim, warga emas dan orang kurang upaya (OKU).

Katanya, ada kes pasangan adik-beradik sanggup membawa cucu saudara mereka yang berusia empat tahun berulang alik hampir setiap hari dari Sungai Petani, Kedah ke sini, untuk mendapatkan wang mudah berbanding mengemis bersendirian sehingga mampu meraih ratusan ringgit sehari.

Sementara itu EXCO Pembangunan Sosial dan Kebajikan negeri, Lim Siew Khim, berkata seramai 212 gelandangan diselamatkan di seluruh Pulau Pinang sejak Januari lalu hingga semalam.

Ada yang sanggup datang dari Kuala Lumpur, Selangor, Sarawak selain dari negeri berdekatan seperti Kedah, Perak dan Perlis dengan pelbagai alasan.

Ramai kata datang ingin cari kerja tapi tiada tempat tinggal namun kita perhatikan lebih ramai akhirnya menganggur atau hidup mengharapkan belas kasihan orang ramai.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here