98 peratus pesakit kanser ke hospital pada tahap 3, 4

Kota Bharu, Okt 21.
Kanser payudara menjadi kanser paling banyak dilaporkan pada 2021 apabila menyumbang 23.3 peratus daripada keseluruhan kanser, berdasarkan kajian Malaysian Study on cancer survival (MyScan).

Kajian juga mendapati secara purata kadar kelangsungan hidup di Malaysia selepas lima tahun disahkan kanser payudara ialah 62 peratus dan kadar ini lebih rendah berbanding negara lain seperti Korea Selatan dan Singapura, yang kadar kelangsungan hidup melebihi 80 peratus.

Pakar Perunding Bedah Kanser Payudara dan Endokrin Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII), Datuk Dr Imi Sairi Ab Hadi, berkata kajian menunjukkan pengesanan lewat selain lambat mendapatkan rawatan adalah punca utama penyebab kadar kelangsungan hidup pesakit kanser payudara di Malaysia rendah.

Bagi yang datang lambat mendapatkan rawatan mungkin disebabkan sikap acuh tak acuh, sedangkan mereka menyedari terdapat ketulan pada payudara, malah ada juga yang beranggapan ia hanyalah bisul. Apabila ada ketumbuhan yang tidak menyakitkan mereka tidak akan datang ke hospital melainkan jika berasa teramat sakit, barulah mereka datang mendapatkan rawatan di hospital, katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Pink Walk 2023 yang disempurnakan oleh Tengku Puan Temenggong Kelantan, Tunku Puan Sri Noor Hayati Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, di Dataran Warisan, Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, di sini, hari ini.

Hampir 1,500 peserta termasuk pesakit kanser dan bekas pesakit kanser menyertai program berkenaan dan berjalan sejauh empat kilometer sebagai tanda sokongan.

Dr Imi Sairi berkata, tidak dinafikan juga ada antara pesakit kanser payudara yang lebih gemar kepada khidmat bomoh .

Faktor berkenaan akan melengahkan rawatan selain sel kanser juga cepat merebak.
Bagaimanapun, ada juga mitos yang mengatakan bahawa penggunaan jarum kepada pesakit kanser akan menyebabkan sel kanser tersebar dan ini sebenarnya satu kepercayaan karut, katanya.

Beliau berkata, jika pesakit datang mendapatkan rawatan di hospital, pihaknya terlebih dahulu akan mengambil biopsi untuk mengesahkan sama ada ia kanser atau sebaliknya.

“Dalam semua pesakit yang saya rawat, 98 peratus menerima rawatan awal dengan khidmat bomoh atau ‘ustaz’ untuk mendapatkan air jampi dan apabila lambat datang ke hospital, kebiasaannya sudah berada pada tahap tiga dan empat,” katanya.

Katanya, setiap tahun kes kanser payudara yang dilaporkan semakin meningkat.

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here