Warga emas ditetak penyamun menyamar tukang rumah

Ipoh, Nov 25.
Seorang lelaki warga emas menempuh detik mencemaskan apabila ditetak seorang penyamun yang menyamar sebagai tukang rumah di Taman Indah Jaya, Teluk Intan, semalam.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata kejadian jam 5.20 petang, ketika mangsa berusia 74 tahun berseorangan di rumah teres satu tingkat itu.

Katanya, mangsa didatangi seorang lelaki tempatan yang menawarkan kerja-kerja pengubahsuaian di bahagian hadapan pagar rumah mangsa.

Mangsa yang terpedaya dengan tawaran tersebut telah membenarkan suspek masuk ke dalam rumah. Suspek kemudiannya bertindak menolak badan mangsa dengan kuat sehingga terjatuh. Mangsa cuba untuk melarikan diri, namun dihalang suspek dan telah bertindak menetak tangan mangsa dengan menggunakan sebilah parang, katanya dalam satu kenyataan .

Ahmad Adnan berkata suspek bertindak mengikat kedua-dua tangan mangsa menggunakan tuala kecil. Kataya, pada masa sama, dua orang lagi rakan suspek masuk ke dalam rumah berkenaan untuk menggeledah dan melarikan barangan kemas, jam tangan pelbagai jenama, sebuah telefon bimbit, wang tunai berjumlah RM3,000 serta sebuah Perodua Axia milik mangsa.

Mangsa mengalami kecederaan luka di bahagian jari telunjuk kanan dan menerima lima jahitan telah meminta bantuan orang awam dan mendapatkan rawatan di Hospital Teluk Intan, katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here