Gajah cedera dirempuh kereta

Setiu, Mac.
Seorang pengurus syarikat terselamat selepas kereta dipandunya merempuh seekor gajah di Kilometer 45, Kampung Kolam, Jalan Kuala Terengganu-Kampung Raja, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam ketika mangsa yang memandu kereta Porsche Cayenne dalam perjalanan dari Rhu 10 menghala ke Lembah Bidong.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Affandi Hussin berkata, sebaik tiba di lokasi kejadian, seekor gajah berada di atas jalan di laluan pemanduan menyebabkan lelaki berusia 42 tahun tidak sempat mengelak lalu melanggar haiwan berkenaan.

“Mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan manakala gajah yang dilanggar cedera di bahagian kaki dan tumbang di tempat kejadian.Bagaimanapun, beberapa minit selepas kemalangan berlaku, gajah itu bangun dan melarikan diri ke dalam hutan yang berhampiran,” katanya.

Affandi berkata, siasatan awal mendapati gajah itu dilihat berkeliaran di kawasan berkenaan kira-kira jam 6.30 petang semalam dan Pejabat PERHILITAN Besut sudah dimaklumkan untuk tindakan lanjut.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here