Cyberjaya, July-
Garis panduan baharu mengenai keselamatan maklumat serta rangkaian untuk industri komunikasi dan multimedia sedang dibangunkan bagi melindungi pengguna Internet selaras usaha Malaysia menuju masa depan digital.
Dibangunkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan pihak berkepentingan berkaitan, garis panduan itu akan meningkatkan standard keselamatan siber, mengutamakan keselamatan awam dan menyerlahkan keperluan minimum audit piawaian keselamatan siber yang menumpukan kepada melindungi orang ramai.
Ahli MCMC, Derek John Fernandez, berkata garis panduan semasa tidak ‘berkesan sepenuhnya’ dan garis panduan baharu akan memberi manfaat kepada penyedia perkhidmatan telekomunikasi, pusat data dan paling utama ialah orang ramai.
“Piawaian semasa menggunakan istilah ‘usaha terbaik’, jadi kita mesti menentukan maksudnya. Ia melibatkan pengurusan organisasi, menilai ancaman, melindungi pelanggan, dan memastikan mereka tidak terdedah kepada risiko penipuan,” katanya kepada Bernama.




















