‘Phone scam’, Guru rugi RM258,060!

Jertih, Ogos-
Seorang guru lelaki di Besut kerugian RM258,060 selepas menjadi mangsa penipuan sindiket ‘phone scam’ yang menyamar sebagai kakitangan syarikat kurier.

Pemangku Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Superintendan Azrol Anuar Nor, berkata terdahulu mangsa berusia 28 tahun itu menerima panggilan daripada individu tidak dikenali pada jam 11.15 pagi 26 Jun lalu yang mendakwa sebagai pihak ibu pejabat sebuah syarikat kurier di Kuala Lumpur.

Beliau berkata, individu itu kemudian mendakwa terdapat sebuah bungkusan barang dipos atas nama mangsa yang mengandungi kad pengenalan dan kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM) yang dikatakan menyalahi undang-undang.

“Talian kemudian disambungkan kepada pihak menyamar sebagai polis pula yang mendakwa nama mangsa juga terbabit kes pengubahan wang haram dan penjualan akaun bank.

“Mangsa menafikan perkara itu, namun suspek memintanya membuat laporan polis secara dalam talian.

“Dia juga disuruh mengosongkan wang dari akaun banknya dengan membuat pindahan ke akaun sementara yang diberikan suspek kononnya untuk tujuan menyelamatkan akaun mangsa daripada dibekukan. Suspek mendakwa wang itu akan dipulangkan semula setelah siasatan selesai,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Susulan itu, Azrol Anuar berkata, mangsa membuat 27 pindahan wang membabitkan jumlah RM258,060 secara berperingkat ke beberapa akaun berlainan yang diberikan suspek.

Bagaimanapun, beliau berkata, mangsa kemudian mengesyaki diri ditipu lalu tampil membuat laporan polis pada jam 6.32 petang semalam, dan kes kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here